suria

Unsur sabotaj punca prestasi buruk skuad Selangor - Khalid

Selangor tewas 4-0 kepada PKNS FC pada aksi Ahad lalu. Foto: Bernama

LEGENDA bola sepak negara, Khalid Ali mendakwa prestasi buruk pasukan Selangor dalam tiga aksi pertama saingan Liga Super musim 2019 berpunca adanya unsur sabotaj terhadap pengurusan baharu Persatuan Bola sepak Selangor (FAS).

Selangor merekodkan permulaan saingan liga terburuk dalam tempoh lapan tahun apabila hanya meraih dua keputusan seri 1-1, masing-masing ketika berdepan Felda United dan PJ City FC, sebelum diaibkan PKNS FC 4-0 di laman sendiri, Ahad lepas.

Khalid, yang juga lagenda Selangor, tidak menolak kemungkinan prestasi hambar skuad ‘Gergasi Merah' itu berpunca daripada masalah yang sengaja ditimbulkan pihak luar dengan niat ‘mengacau' segelintir pemain di dalam pasukan.

Jelas beliau, perkara itu membuatkan pemain-pemain tidak lagi sehaluan selain menimbulkan rasa ketidakpuasan hati terhadap pengurusan baharu sekali gus menyaksikan mereka enggan bermain sepenuh hati untuk Selangor.

“Kemungkinan, ada unsur sabotaj dalam pasukan kerana apa yang berlaku ini berkait dengan Geng 52 yang kita tahu sebelum ini ingin menguasai FAS. Memang ada kekacauan dari luar dan ada juga pemain-pemain yang menyokong geng itu.

“Mereka (pemain) tidak setuju dengan pengurusan baharu kerana mereka ini masih menghormati pengurusan lama. Mereka sangat rapat sebelum ini. Mungkin ini adalah arahan daripada Geng 52,” katanya kepada Bernama.

Sebagai rekod, Geng 52 merupakan bekas ahli kelab gabungan FAS yang cuba ‘merampas' kuasa dalam FAS, namun gagal selepas keputusan Pejabat Pesuruhjaya Sukan pada Disember tahun lepas tidak memihak kepada mereka.

Mengakui terdapat kelemahan dalam cara menguruskan pasukan, Khalid berpedapat pengurusan baharu FAS tetap menjalankan tugas dengan baik untuk mengembalikan semula kegemilangan Selangor dengan beberapa usaha termasuk program yang bertujuan mendekatkan pasukan bersama peminat.

Menurut beliau, apa yang dihadapi Selangor ketika ini adalah masalah kecil dan ia boleh diatasi dengan mudah, sekiranya FAS mendapat sokongan penuh daripada kerajaan negeri yang diterajui Menteri Besar, Amirudin Shari.

“Terdapat sedikit kelemahan dalam menguruskan pemain kerana mereka (pengurusan baharu) masih baru dan tidak mempunyai pengalaman. Tetapi mereka sentiasa berusaha menjadi terbaik dari masa ke masa.

“Saya berharap Menteri Besar dapat bekerjasama dengan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk atasi masalah ini dan wujudkan satu pengurusan yang mantap, sekali gus membawa naik nama Selangor semula,” katanya.

Pada masa sama, Khalid mengingatkan pemain supaya menghormati kontrak yang ditandatangani serta bermain sebagai seorang pemain profesional dan bukannya bermain demi kepentingan sendiri atau pihak luar.

“Sebagai pemain profesional, mereka kena hormati kontrak. Mereka kena akur dengan kontrak tersebut dan menghormati pengurusan. Jangan menjejaskan imej serta nama baik FAS dan Selangor,” katanya.

Selangor kini menghuni tangga kesembilan Liga Super dengan perbezaan lima mata di belakang pendahulu, Kedah yang mengumpul tujuh mata.

Skuad kendalian B. Sathianathan itu akan berkunjung ke Stadium Darul Makmur, Kuantan untuk aksi keempat liga berdepan Pahang, Ahad ini.- Bernama

Selangor, FAS

Artikel Lain