suria

Walaupun kalah, Ronaldo tetap berlagak di depan Atletico Madrid

Ronaldo menunjukkan isyarat lima jari kepada penyokong Madrid. - AP

CRISTIANO RONALDO mungkin berada di pasukan yang salah ketika Atletico Madrid menewaskan Juventus 2-0 pada Liga Juara-Juara, namun pemenang Ballon d'Or lima kali itu tetap ingin menunjukkan kehebatannya.

Pasukan Diego Simeone mengatasi juara Eropah dua kali tersebut di Wanda Metropolitano melalui gol oleh Jose Gimenez dan Diego Godin pada malam penuh kontroversi yang melingkari Pengadil Pembantu Video (VAR).

ARTIKEL BERKAITAN: Pemain berusia 18 tahun dijangka lenyapkan legasi Ronaldo di Real Madrid

Walaupun Juve tewas, pemain kelahiran Portugal itu enggan Madrid berasakan mereka boleh menandinginya.

Ketika berjalan melalui zon campuran selepas perlawanan berakhir, Ronaldo menjerit: "Saya mempunyai lima gelaran Liga Juara-Juara, kamu (Atletico) langsung tiada."

Pemain berusia 34 tahun itu memenangi Piala Eropah bersama Manchester United pada 2008 sebelum menggondol gelaran tersebut sebanyak empat kali ketika bersama Los Blancos.

Ronaldo merupakan pemenang Ballon d'Or lima kali.

Ia termasuk dua kali ketika menumpaskan Atletico pada perlawanan akhir 2014 dan 2016.

Sepanjang perlawanan berlangsung selama 90 minit, Ronaldo menunjukkan isyarat lima jari ke arah penyokong Los Colchoneros.

Perbuatan itu dilihat seolah-olah ingin menunjukkan kehebatannya dalam pertandingan kelab utama di Eropah.

Hanya Paco Gento yang pernah memenangi trofi itu lebih banyak berbanding penyerang Juve tersebut.

Ronaldo juga meraih jumlah gol paling tinggi dalam sejarah pertandingan, dengan 121 gol, di hadapan Lionel Messi.

Sungguhpun begitu, perbuatan Ronaldo itu tidak dapat mengalihkan perhatian daripada malam yang malang bagi Massimiliano Allegri. - Goal

Ronaldo

Artikel Lain