RATU skuasy negara, Datuk Nicol David terus mempamerkan aksi hebat apabila mara ke pusingan ketiga Kejohanan Dunia PSA 2018/2019 pada Ahad (pagi Isnin waktu Malaysia). Pemain berusia 35 tahun dari Pulau Pinang itu yang juga juara dunia lapan kali mengambil masa 28 minit untuk menundukkan Millie Tomlinson dari England; 11-5, 11-4, 11-7, dalam perlawanan pusingan kedua yang diadakan di Chicago. Menurut laman sesawang kejohanan itu https://psaworldchampionships.com. Nicol, pemain pilihan ke-13 akan berhadapan pemain pilihan kelima Camille Serme dari Perancis pada pusingan ketiga pada Selasa. Nicol mula bertanding dalam kejohanan itu pada 2001 dan memenangi lapan gelaran - kejuaraan yang paling banyak dimenangi oleh seorang wanita. Beliau memenanginya pada tahun 2005, 2006, 2008, 2009, 2010, 2011, 2012 dan 2014. Baru-baru ini, Nicol mengumumkan akan bersara secara rasmi pada penghujung musim 2018/2019 Persatuan Skuasy Profesional (PSA) Jun tahun ini selepas berkecimpung selama 20 tahun dalam sukan ini. - BERNAMA