suria

Jordan Boy dipilih wakili Malaysia bagi aksi ONE:A New Era di Tokyo

Jordan bakal berdepan dengan aksi sengit di Tokyo hujung bulan ini.

PEJUANG Muay Thai ONE Championship  Mohammed “Jordan Boy” Mahmoud diberi penghormatan membawa nama Malaysia ke Jepun hujung bulan ini.

Venue di Ryogoku Kokugikan, Tokyo bakal menyaksikan ONE Championship memasuki pasaran Jepun buat julung kalinya menerusi acara ONE: A New Era.

Mohammed mengakui terkejut dan teruja apabila terpilih mewakili negara dalam aksi bersejarah ini.

"Saya tidak pernah terfikir untuk mendapat peluang seperti ini memandangkan baharu menjadi ahli keluarga ONE, Disember lalu.

"Tetapi saya akan menerima cabaran ini dengan tangan terbuka. Saya akan pastikan untuk tidak menghampakan rakyat Malaysia," jelas pemuda berusia 22 tahun ini pada Khamis.

Atlet kelahiran Kuala Lumpur ini menjadi perhatian peminat sukan bela diri campuran apabila berjaya menumpaskan lawan secara 'knock out' dalam aksi sulungnya bertemu The Greek Dynamite’ Mikkios, Disember lalu.


Sebelum ini, jelas Jordan kepada mStar Online , minatnya dalam sukan Muay Thai sukar digambarkan.

“Saya suka menonton rancangan Contender dan ketika itu Faizal Ramli menjadi idola saya. Walaupun pada mulanya ayah dan ibu tidak berapa menyokong minat ini, saya tetap mahu mencuba dengan bersyarat sebelum mendaftar diri di sebuah gimnasium Muay Thai.

“Ayah beritahu kepada saya, jika saya kalah pada perlawanan pertama, saya kena tinggalkan dunia Muay Thai ini.

“Tetapi saya menang dengan TKO dan bermulalah karier saya sebagai pejuang Muay Thai,” ujarnya mengenai penglibatannya dalam Muay Thai.

Tambah Jordan, musim 2019 ini dia berharap kejayaan akan terus mengiringinya dalam setiap pertandingan peringkat antarabangsa.

"Saya telah banyak belajar daripada perlawanan sebelum ini.

"Kami banyak belajar daripada kesilapan. Saya juga telah mengkaji rakaman video dan berharap akan dapat melakukan aksi yang lebih baik.

"Saya tidak boleh mengubah masa lalu, tetapi berjanji akan mempamerkan persembahan terbaik di Tokyo nanti," ujarnya.

Sementara itu, di Tokyo pada 31 Mac ini, Jordan bakal berdepan dengan bekas juara dunia dua kali dari Thailand, Panicos Yusuf of Cyprus dalam acara ONE Super Series bantamweight Muay Thai.

"Saya tidak tahu sangat mengenainya. Tetapi saya ada menonton video perlawanan dan tahu dia ada kebolehan, tapi saya mempunyai perancangan baharu menjelang perlawanan itu nanti yang dijangka lebih kepada taktikal.

"Tentunya dia menjangkakan saya akan lebih banyak menyerang berbanding aksi sebelum ini," jelasnya.


Jordan Boy, ONE Championship

Artikel Lain