suria

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 bunuh diri

Kelly Catlin.

JUARA berbasikal trek dunia tiga kali, Kelly Catlin meninggal dunia pada usia 23 tahun.

Persatuan Berbasikal Amerika Syarikat (AS) turut mengesahkan berita pemergian pemenang pingat perak Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil itu.

Kelly cemerlang dalam acara berpasukan kejuaraan dunia sebanyak tiga kali antara 2016 dan 2018.

Dia turut memenangi pingat perak bagi acara individu pada kejuaraan dunia 2017 dan 2018.

Colin, abang kepada Kelly mengesahkan adik perempuannya itu maut selepas membunuh diri.

“Adik saya Kelly membunuh diri malam Jumaat. Dia individu yang berkongsi hampir keseluruhan hidup saya dan saya amat merinduinya,” tulis Colin di Facebooknya.

Kelly disahkan maut akibat membunuh diri.

Kelly memenangi pingat emas pada ketiga kejuaraan dunia bersama Chloe Dygert Owen dan Jennifer Valente.

Kimberley Geist turut terlibat sebahagian daripada pasukan itu pada 2017 dan 2018 manakala Sarah Hammer menjadi rakan pasukannya pada 2016.

“Kami amat bersedih dengan berita pemergian Kelly. Kami amat merindunya. Kelly lebih daripada seorang atlet kepada kami dan dia sentiasa menjadi sebahagian daripada keluarga kami.

“Ingatan dan doa kami untuk keluarga Kelly. Ini masa sukar mereka dan kami mahu menghormati privasi mereka.

“Seluruh keluarga komuniti berbasikal meratapi pemergiannya,” kata Presiden dan Ketua Eksekutif Persatuan Berbasikal AS, Rob DeMartini.

Kelly dilahirkan di Saint Paul, Minnesota dan merupakan graduan dari Universiti Minnesota tahun lalu dengan Ijazah Sarjana Muda Matematik dan Bahasa Cina. - Mirror.co.uk

Artikel Lain