STADIUM LA Galaxy akan mempamerkan tugu David Beckham bagi menghargai legasi pemain popular itu. Beckham bagaimanapun kelihatan berang dan tidak berpuas hati sewaktu dipertontonkan hasil kerja berkenaan tanpa menyedari ia adalah tugu palsu sahaja. Video tersebut merupakan prank yang diterbitkan menerusi rancangan The Late Late Show, kendalian pengacara popular James Cordon. Menerusi video itu, Beckham ternyata tidak berpuas hati dengan tugu yang dihasilkan berdasarkan wajahnya. Selain kelihatan tidak sama dan hodoh, Beckham juga terpaksa melayan kerenah beberapa individu yang berlakon sebagai peminatnya, menerusi prank itu. "Ini berlainan dengan tugu yang syaa lihat di Chicago. Kenapa dagu makin panjang? "Langsung tak sama dengan saya. Tengok matanya. Rambut je yang elok. Macam mana boleh jadi begini? "Nasib baik isteri dan ibu bapa saya sahaja yang akan datang tengok. Kalau anak-anak saya datang dan tengok tugu ni, mereka akan menangis" ujar Beckham tanpa menyedari ia hanyalah prank semata-mata. Berang dengan penghasilan tugu tidak berkualiti itu, Beckham juga mempersoalkan jika ia benar-benar akan dipamerkan di Stadium LA Galaxy kelak. Dia bagaimanapun menyedari ia sekadar prank apabila Cordon memasuki set tersebut.- Mirror.