LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) memberi jaminan akan berusaha menyerahkan geran tahunan kepada pasukan Liga Malaysia (Liga-M) di sebalik penamatan kontrak Telekom Malaysia Berhad (TM) sebagai penaja utama saingan musim ini. Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam (gambar) berkata pihaknya sentiasa amanah dan bertanggungjawab kepada pemegang taruh yang terdiri daripada 24 pasukan selain berusaha keras untuk mencari dana selepas ketiadaan TM. ARTIKEL BERKAITAN: "Saya kecewa tindakan TM" - TMJ umum MFL 'berpisah' dengan penaja utama Liga Malaysia Kevin, bagaimanapun, menjelaskan jumlah serta tarikh penyerahan geran bakal terjawab sebaik MFL mencapai perjanjian bersama penaja utama yang baharu. “Sudah tentu, kita kena mencari dana secukupnya untuk semua pasukan kerana ia tanggungjawab MFL tetapi maklumat terperinci mengenai tarikh dan jumlah akan dimaklumkan kemudian selepas kita mengadakan perbincangan rasmi dengan pihak yang berminat menjadi penaja,” katanya kepada pemberita di Johor Bahru, Sabtu. Pada Jumaat, MFL mengumumkan penamatan kontrak penajaan bersama TM yang difahamkan bernilai RM480 juta bagi tempoh lapan tahun bermula Januari tahun lepas, setelah perbincangan untuk meneruskan perjanjian kerjasama penajaan menemui jalan buntu. Kita melihat banyak pihak berminat (menjadi penaja), cuma sebelum ini kita tidak boleh membuat rundingan kerana kita ada kontrak (bersama TM). KEVIN RAMALINGAM CEO MFL Pada masa sama, Kevin mengakui ketiadaan TM akan memberi kesan kepada Liga-M, namun optimis akan kehadiran penaja baharu yang bakal tampil untuk mengisi kekosongan ditinggalkan syarikat telekomunikasi itu. “Memang ada kesan bila kita kehilangan penaja tapi kita masih ada rakan penaja yang memberikan komitmen seperti iflix dan Ampersand. “Kita masih lagi kukuh dan akan mengatasi masalah ini. Kita melihat banyak pihak berminat (menjadi penaja), cuma sebelum ini kita tidak boleh membuat rundingan kerana kita ada kontrak (bersama TM),” katanya. Sementara itu, ketika diminta mengulas sekiranya TM berminat untuk kembali menaja Liga-M pada masa akan datang, Kevin berkata MFL tidak pernah menutup pintu buat mana-mana pihak bagi mewarnai kancah bola sepak tempatan. Bagaimanapun, Kevin menegaskan keputusan menamatkan kontrak penajaan bersama TM pada Jumaat terpaksa diambil demi kelangsungan Liga-M. - Bernama