suria

FAM guna kod QR pada sistem tiket semua perlawanan antarabangsa bulan ini

TIKET bagi kesemua perlawanan antarabangsa Harimau Malaya, dari 17 hingga 26 Mac ini, akan menggunakan sistem imbasan Kod QR bagi kemasukan penonton ke dalam stadium.

Pelaksanaan sistem Kod QR itu merupakan usaha Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk memajukan sistem penjualan tiket dan kemasukan penyokong ke stadium ke arah yang lebih sistematik.

Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam dalam satu kenyataan media berkata sistem Kod QR itu akan mula dilaksanakan pada perlawanan persahabatan antarabangsa B-22, Malaysia bertemu Australia di Stadium Shah Alam pada Ahad.

Sistem Kod QR kemudian akan diteruskan pada kejohanan antarabangsa empat negara, Piala Airmarine 2019 yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil iaitu pada 20 dan 23 Mac.

Ia turut akan membabitkan tiga hari perlawanan bagi Kelayakan Kejuaraan B-23 AFC 2020 di Stadium Shah Alam iaitu pada 22, 24 dan 26 Mac.

Stuart berkata sistem itu dijalankan menerusi kerjasama antara FAM dengan dua syarikat pengendali tiket iaitu Tickethotline International Sdn Bhd dan Proticket Malaysia Sdn Bhd melalui ProEvents.

"Kita akan mulakan pada perlawanan malam ini. Sebarang kelemahan atau kekurangan sistem akan diuji pada perlawanan ini dan cuba untuk diatasi dan diperbaiki sebaik mungkin.

"Dengan pengenalan sistem Kod QR itu, penyokong Harimau Malaya yang membuat pembelian tiket secara dalam talian tidak perlu lagi untuk ke kaunter penebusan tiket di stadium, sebaliknya hanya perlu menunjukkan Kod QR yang dihantar ke e-mel mereka untuk diimbas petugas di pintu masuk stadium," katanya.

Stuart berkata selain memudahkan urusan dan menjimatkan masa, sistem Kod QR ini juga dapat mengatasi isu tiket palsu atau kemasukan tidak sah ke dalam stadium kerana setiap tiket yang dijual, termasuk tiket fizikal yang dijual di kaunter tiket biasa di stadium turut dilengkapi dengan Kod QR.

Bagaimanapun bagi penyokong yang membeli tiket Piala AirMarine 2019 dan Kelayakan Kejuaraan B-23 AFC 2020 secara dalam talian tetapi tetap mahu mendapatkan tiket fizikal untuk dijadikan bahan koleksi, mereka boleh membuat pilihan untuk menebus tiket di kaunter ketika membuat pembelian secara dalam talian.

Untuk tujuan itu, mereka akan diberikan penerangan menerusi e-mel mengenai cara-cara membuat penebusan tiket fizikal di kaunter khas penebusan tiket dalam talian yang akan dibuka pada hari perlawanan.

"FAM akan membuka juga kaunter tiket biasa pada hari perlawanan dengan mengambil kira faktor terdapat juga penyokong yang tidak dapat berbuat demikian kerana sebab-sebab tertentu. Tiket biasa ini juga tetap akan dilengkapi dengan Kod QR," katanya.

Bagi mereka yang ingin membeli tiket Piala AIRMARINE 2019 secara dalam talian, boleh layari laman web www.proticket.com.my dengan harga RM45 (grandstand), RM35 (terbuka) dan RM25 (pelajar 7-18 tahun) bagi setiap hari perlawanan iaitu setiap tiket boleh menyaksikan dua perlawanan pada hari yang sama.

Setiap pembelian secara online ini dikenakan caj sebanyak RM10.Tiket Piala AIRMARINE 2019 juga sudah boleh dibeli di sembilan saluran The Guitar Store di sekitar Lembah Klang iaitu di Taman Segar Cheras, Desa Sri Hartamas, Damansara Perdana, IOI Boulevard Puchong, J-Avenue Balakong, Kota Kemuning, Jalan Kuchai Maju dan SS15 Subang Jaya serta di Weng Kee Restaurant, Taman Mewah Jaya, Klang.

Di luar Lembah Klang, tiga saluran yang terlibat adalah Inverno Music Station di Mahkota Parade, Melaka serta Evolution Music House di Plaza Gurney dan Penang House of Music di KOMTAR, kedua-duanya di Pulau Pinang.

Sementara itu, tiket perlawanan-perlawanan Kelayakan Kejuaraan B-23 AFC 2020 pada 22, 24 dan 26 Mac 2019 pula sudah mula dijual secara dalam talian di www.tickethotline.com.my iaitu dengan harga RM20 (dewasa) dan RM5 (kanak-kanak 7-12 tahun) bagi setiap hari perlawanan.

Setiap tiket dibeli secara dalam talian ini dikenakan caj RM3.69 (dewasa) dan RM3.60 (kanak-kanak).

Kod QR, FAM, Tiket

Artikel Lain