suria

Kelayakan AFC B-23: Kim Swee gembira raih tiga mata, tapi kecewa tiada penyudah baik penyerang

Akhyar (depan) menjaringkan gol seawal minit kelima perlawanan bertemu Filipina. Foto: Bernama

PEMBUKAAN yang baik buat skuad Bawah 23 Negara apabila berjaya mengutip tiga mata penuh dalam aksi pertama Kelayakan Piala AFC Bawah  23 Tahun di Stadium Shah Alam, malam Jumaat.

Ketua Jurulatih skuad negara, Datuk Ong Kim Swee ternyata gembira dengan sasarannya untuk mencatat kemenangan pada perlawanan pertama.

Namun pengendali kelahiran Melaka itu masih tidak berpuas hati dengan prestasi barisan serangan yang sepatutnya mampu menambah jaringan gol.

“Ya memang sedikit kecewa kerana banyak peluang yang tidak dapat disempurnakan.

“Situasi ini perlu diambil iktibar agar semua penyerang boleh menjaringkan gol.

“Jika mereka dapat gunakan peluang itu, saya yakin ia dapat membuat satu jurang yang lebih baik,” jelasnya selepas permainan.

Dalam pada itu Kim Swee mahu pemain-pemainnya kekal fokus dan konsisten menjelang perlawanan kedua bertemu Laos.

“Kita sudah melepasi perlawanan pertama dengan mengutip tiga mata penuh, dan begitu juga akan dilakukan untuk aksi kedua.

“Paling penting kita perlu lebih efektif dalam menjaringkan gol,” tambah Kim Swee.

Pada perlawanan tersebut, skuad Harimau Muda negara berjaya menjaringkan gol menerusi Akhyar Rashid (5’ dan 31’) manakala gol ketiga oleh Faizal Halim minit ke-83.

Malaysia berada dalam Kumpulan J bersama Filipina, Laos dan China. Aksi kedua berlangsung Ahad ini sebelum perlawanan terakhir kumpulan pada Selasa bertemu China.

Juara setiap kumpulan bagi saingan kelayakan ini (11 pasukan) akan layak secara automatik ke pusingan akhir Kejuaraan B-23 AFC 2020 bersama tuan rumah, Thailand manakala hanya empat atau lima pasukan tempat kedua terbaik akan turut layak bagi melengkapkan senarai 16 pasukan.

Artikel Lain