suria

Atlet koma, jurulatih silat MSNPP lancar derma kilat bantu Ain

Ain (tengah) ketika menjuarai Kejohanan Silat Remaja PSSGMK Kebangsaan dua tahun lalu.

JURULATIH silat Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Shuhairi Chin melancarkan tabung derma kilat untuk disalurkan kepada atlet silat kebangsaan, Ainbatrisyia Amran yang sedang koma sejak 18 Mac lalu.

Menurut Shuhairi,  walaupun hanya sekejap menjadi jurulatih atlet itu ketika pemilihan Sukan Malaysia (Sukma), dia tetap mengingati atlet muda berjiwa besar itu.

"Saya bawa dia sekali sahaja ketika sesi latihan pemilihan akhir untuk mewakili Pulau Pinang pada Sukma 2018 di Perak. Namun agak kecewa dia tidak terpilih pada sesi terakhir pemilihan.

Artikel berkaitan: Atlet silat wanita koma akibat otak bengkak, lebih 2 minggu ibu bapa terpaksa 'menumpang' di hospital

"Pun begitu, sebagai jurulatih atau cikgunya saya boleh nampak Ain seorang atlet yang berjiwa besar. Dia bukan jenis yang mudah berputus asa.

"Sebabnya, ketika tidak terpilih untuk pasukan Sukma, dia mencari inisiatif lain meneruskan minatnya dalam bidang silat ini dan berjaya dipanggil untuk menyertai persatuan silat kebangsaan.

"Tetapi perkara tidak diingini berlaku ke atasnya dan semua pihak masih menunggu punca kejadian," jelasnya ketika dihubungi mStar Online.

Pesilat berusia 18 tahun itu tidak sedarkan diri selepas mengalami kekejangan otot ketika sedang berehat selepas menjalani latihan di pusat latihan menjelang Kejuaraan Pencak Silat Kebangsaan yang berlangsung pada 21 Mac lalu.

Susulan insiden itu, Ain tidak dapat menyertainya dan berada dalam koma sehingga hari ini.

Untuk membantu meringan beban keluarga Ain, dia dan bersama beberapa orang jurulatih silat lain melancarkan tabung untuknya.

"Itu sahaja yang kami mampu buat untuk membantu Ain, selain berdoa agar dia kembali sembuh dan dapat meneruskan seni silat ini.

"Semua sumbangan ini akan diserahkan kepada keluarga Ain kelak," tambahnya.

Shuhairi Chin, Ainbatrisyia, silat

Artikel Lain