PENGARAH Teknikal Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Alister Edwards meluahkan kekesalan berhubung prosedur pemilihan pengadil yang dilaksanakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).Beliau secara terbuka berpendapat langkah FAM itu perlu segera diubah. Edwards berkata demikian selepas isu pengadil yang didakwa anak kelahiran Johor ketika perlawanan Liga Super melibatkan JDT dan Felda United pada Jumaat malam. "Dalam hal ini jikalau betul apa yang diperkatakan, maka FAM perlu bertanggungjawab atas kelemahan tersebut bagi mengelakkan kejadian seperti ini berulang. "Kami kesal dengan prosedur FAM dalam pemilihan pengadil dan ia perlu diubah. Ia tidak kelihatan bagus ataupun profesional pada pihak FAM," ujarnya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook Johor Southern Tiger pada Sabtu. Tambah Edwards, terdapat banyak komen tentang pengadilan, terutamanya tiga kad merah untuk pasukan Felda United. "Adakah ini hanya satu isu disebabkan ia adalah pasukan lawan JDT? Saya mempersoalkan ini kerana ketiga-tiga kad merah adalah kesalahan kad kuning kedua selepas pemain-pemain tersebut melakukan kesalahan yang sewajarnya dikenakan hukuman. "Jikalau anda mengatakan pengadil tersebut berat sebelah maka adakah anda juga mengatakan bahawa seorang pemain boleh mengasari pemain lawan dari belakang, membuang masa perlawanan dan menolak pegawai perlawanan?," ujarnya. Pada aksi kemenangan 3 -1 itu, tiga pemain Felda United yang dilayangkan kad merah pada babak ke dua permainan adalah Zahril Azri kerana didakwa mengasari Leandro Velázquez, selain itu Thiago Aquino dikatakan melewatkan permainan, manakala Hadin Azman selepas mengutip kad kuning kedua.