suria

Kanu: "Hanya 40 atlet terbaik sertai skuad negara, tiada lagi pemilihan kedua"

Megat Shariman memberitahu pemilihan 40 atlet untuk persiapan tiga kejohanan penting.

KEPIMPINAN baharu Persatuan Kanu Malaysia (Masca) terus gigih menaik taraf sukan itu apabila mengambil pendekatan mengadakan pemilihan atlet bagi Sukan SEA Filipina 2019 secara besar-besaran.

Presiden Masca, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharuddin, berkata menerusi penganjuran Kejohanan Sirkit Kebangsaan di Tasik Putrajaya pada Sabtu menyaksikan seramai 176 atlet mengambil bahagian bagi memburu tempat ke temasya di Filipina itu.

Namun, katanya hanya 40 atlet yang terbaik dipilih untuk menyertai kem latihan skuad kebangsaan membabitkan acara lumba bot tradisional dan pecut berdasarkan beberapa kriteria ditetapkan pihaknya.

"Mereka ini akan dipersiapkan bagi menghadapi Sukan SEA 2019 dan 2021, Sukan Olimpik 2020 dan Sukan Asia 2022 dengan ia terbahagi kepada 10 atlet pecut dan 30 bagi lumba bot tradisional.

"Ini adalah kali pertama dalam sejarah Masca berupaya mengadakan sesi pemilihan sebesar ini apatah lagi dengan pemilihan venue bertaraf dunia ini selain penyertaan atlet yang tinggi, saya yakin ramai atlet berkualiti kali ini," katanya ketika ditemui pada Kejohanan Sirkit Kebangsaan.

Megat Shahriman berkata, tiga atlet atau pasukan yang berkedudukan teratas dan melakukan catatan masa terbaik dalam sesi ujian pemilihan hari ini secara automatik akan terpilih. 

Katanya, Masca turut menjadikan sesi dari pukul 8 pagi hingga 3 petang ini sebagai pemilihan muktamad kerana tidak mampu menunggu lagi untuk menyiapkan pasukan khususnya menjelang Sukan SEA Ke-30 di Filipina yang bermula November ini.

“Kami tidak akan buat lagi pemilihan kedua kerana masa semakin suntuk sekarang dan perlu berikan pendedahan pertandingan yang banyak kepada atlet terpilih mulai tahun ini,” katanya.

Bagi lumba bot tradisional katanya, skuad negara mempunyai prospek cerah pingat Sukan SEA memandangkan mereka pernah mara ke separuh akhir lelaki Sukan Asia Ke-18 di Palembang, Indonesia, tahun lalu.

Artikel Lain