suria

Kedah kembali temui sentuhan, JDT II kekal rekod tanpa kalah

Pemain JDT II, Mohamad Ghaddar mengasak pemain Negeri Sembilan, Osman Mohd Yusoff pada perlawanan Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Jumaat malam. Foto: Bernama

KEDAH akhirnya kembali ke landasan tepat dalam persaingan perebutan kejuaraan Liga Super 2019 selepas menang selesa 3-0 ke atas Terengganu FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Jumaat malam.

Selepas hanya mengutip dua mata dalam empat aksi terdahulu selain tewas mengejut 1-2 kepada pasukan tercorot Kuala Lumpur, Sabtu lepas, kejayaan ini membolehkan skuad ‘Lang Merah' mengumpul 15 mata untuk kekal di tangga ketiga dan memberi tekanan kepada dua pasukan teratas -  Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Pahang.

Pemain import dari Argentina, Jonathan Jesus Bauman meletakkan Kedah di depan menerusi sepakan penalti pada minit ke-24 selepas Nasrullah Haniff Johan menjatuhkan Mohamad Farhan Roslan di dalam kawasan kotak penaliti.

Penyerang kebangsaan, Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak meletakkan Kedah selesa mendahului 2-0 lapan minit kemudian apabila bekas pemain Kuala Lumpur itu mudah menolak masuk bola selepas memperdaya penjaga gol, Mohd Suffian Ab Rahman Kungi Raman.

Pasukan pelawat sesekali berjaya mencemaskan kira-kira 10,000 penyokong tuan rumah, namun Kedah melengkapkan perlawanan menerusi gol ketiga hasil rembatan deras Fernando Rodriguez Ortega pada minit ke-72 untuk menghadiahkan pasukan tiga mata berharga.

Sementara itu, hasrat Selangor menjadikan juara Piala Malaysia 2018, Perak mangsa ‘kebangkitan Gergasi Merah' seterusnya tidak kesampaian selepas aksi berakhir dengan keputusan seri 1-1 di Stadium Shah Alam.

Selangor, yang berada dalam prestasi terbaik selepas meraih kemenangan ketiga liga berturut-turut, Sabtu lepas, dikejutkan dengan gol pasukan pelawat pada minit ke-35 oleh Mohammad Nor Hakim Hassan, namun Selangor bangkit menyamakan kedudukan menerusi sepakan bebas Sandro da Silva pada minit ke-39.

Selangor terpaksa mengharungi kira-kira 30 minit permainan dengan 10 pemain apabila Muhammad Nurridzuan Abu Hassan Saari dilayangkan kad merah selepas mengutip kad kuning keduanya.

Dalam pada itu, aksi Liga Premier 2019 pula menyaksikan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) mengekalkan rekod tanpa kalah selepas menewaskan Negeri Sembilan 3-0 di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang.

Gol JDT II dijaringkan Lucas Elias Ontivero seawal minit ketujuh sebelum pertahanan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara, Muhammad Syazwan Andik Mohd Ishak meledak gol kedua diikuti jaringan Mohammed Ghaddar pada minit ke-63.

Dalam pada itu, jaringan tunggal pemain import dari Korea Selatan, Lee Changhoon pada minit ke-83 membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) meraih kemenangan sulung dalam kempen musim ini selepas menewaskan Kelantan 1-0 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.- Bernama

Liga Super, Liga Perdana

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain