suria

Irfan tersingkir Kejohanan Olahraga Asia

Irfan gagal pertahankan pingat perak yang dimenangi 2017.

MUHAMMAD Irfan Shamsuddin tersingkir selepas lontaran ketiga, sekali gus gagal melengkapkan enam lontaran penuh dalam acara lempar cakera lelaki pada Kejohanan Olahraga Asia (ATF) di Doha, Qatar.

Selepas tiga lontaran, atlet yang disenaraikan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk meraih pingat di kejohanan itu, berakhir di kedudukan kesembilan dengan catatan terbaik 55.18m yang berlangsung pada Ahad.

Mengikut format kejohanan, hanya lapan atlet terbaik selepas tiga lontaran, dibenarkan membuat enam lontaran penuh untuk merebut pingat yang ditawarkan.

Untuk rekod, Irfan adalah pemenang pingat perak pada kejohanan ATF 2017 di Bhubaneswar, India dengan rekod 60.96m.

Bagaimanapun, dengan keputusan 55.18m, Irfan dilihat masih boleh mempertahankan pingat emas Sukan SEA yang diraihnya ketika Malaysia menjadi tuan rumah, pada 2017.

Pada Sukan SEA edisi lepas, atlet berusia 23 tahun itu membuat lontaran sejuah 58.36m untuk meraih pingat emas pada aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Sementara itu, jaguh lompat kijang negara Muhammad Hakimi Ismail layak ke peringkat akhir selepas melakukan lompatan sejauh 16.08m pada lompatan terakhir.

Dengan jarak lompatan yang dilakukan, Muhammad Hakimi menduduki tempat keempat daripada 12 peserta yang layak ke peringkat akhir yang dijadualkan berlangsung lewat malam Isnin waktu Malaysia.- Bernama

Irfan, Lempar Cakera, ATF

Artikel Lain