suria

JDT turunkan pemain terbaik bertemu Kashima Antlers esok

Ketua Pasukan Kashima Antlers Go Oiwa (dua, kiri) bersalaman dengan Benjamin Mora (dua, kanan) pada majlis itu. - FotoBERNAMA

PEMAIN bek tengah, Mauricio Nascimento, dijangka antara kesebelasan terbaik Johor Darul Ta'zim (JDT) yang bakal diturunkan menentang juara bertahan, Kashima Antlers dalam perlawanan Kumpulan E, Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada Rabu.

Ketua Jurulatih JDT, Benjamin Mora berkata ia bukan tugas mudah kepada Harimau Selatan terutamanya pemain-pemain, kerana mereka perlu memberikan aksi terbaik di dalam perlawanan penting berhadapan kelab dari Jepun itu.

Apabila ditanya sama ada pemain bek tengah dari Brazil itu adalah antara kesebelasan terbaik bakal diturunkan, beliau berkata kemungkinan besar Nascimento akan dipilih dalam kesebelasan pemain berkenaan.

Idea dan rancangan kami ialah untuk meletakkan pemain terbaik di padang kerana kami mempunyai skuad pemain profesional yang besar, kami perlu memilih dengan bijak supaya mereka boleh bermain dengan cemerlang dalam perlawanan penting ini.

“Saya merasa positif tetapi kami perlu ingat, perlawanan berlangsung di dalam bulan puasa jadi kami perlu amat berhati-hati kerana berhadapan dengan pasukan yang sememangnya kuat. Secara keseluruhannya, kami gembira berpeluang mempamerkan aksi terbaik,” katanya dalam sidang akhbar praperlawanan di Johor Bahru pada Selasa.

Biarpun berhadapan jadual perlawanan yang padat, Mora berkata setakat ini tiada pemainnya mengalami kecederaan serius hanya keletihan selepas beraksi.

Turut hadir, Kapten JDT Harris Harun dan Ketua Jurulatih Kashima Antlers Go Oiwa.

Harris berkata:“Kita ada sedikit peluang dan terbiasa dengan padang latihan kita dan di Larkin, tetapi perlawanan esok (Rabu), kedua-dua pasukan ada pemain terbaik jadi bagi kami apa yang penting adalah fokus dan berikan keputusan yang terbaik.”

JDT sebelum ini memulakan kempen ACL dengan kekalahan tipis 1-2 kepada juara bertahan, Kashima Antlers dalam aksi pembukaan pada 5 Mac lepas, sebelum seri 1-1 menentang kelab Korea Selatan, Gyeongnam FC di Larkin pada 12 Mac.

Pada 24 April lepas, JDT tewas 0-1 bertemu Shandong Luneng FC dari China di laman sendiri. - BERNAMA

Artikel Lain