PEMAIN perseorangan wanita negara, Soniia Cheah sudah cukup matang untuk memahami situasi perlu dilaluinya dalam usaha melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, kata Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Wong Choong Hann. Choong Han berkata pada beberapa kejohanan sebelum ini, Soniia tidak mempamerkan prestasi meyakinkan ketika bertemu lawan yang sama tahap kemampuannya, apatah lagi jika berdepan pemain lebih tinggi ranking berbandingnya. “Dia (Soniia) dalam radar kita (ke Sukan Olimpik) dan dia perlu buktikan kemampuannya kerana kita melihat kepada prestasi sebenar bukan menilai prestasinya berdasarkan lawan (ranking) lebih tinggi atau rendah," ujarnya. Beliau berkata pemain itu sudah sedia maklum bahawa beliau perlu menghadapi lawan sama ada sukar atau mudah, dan menunjukkan keputusan meyakinkan kepada pihak pengurusan. “Soniia dalam senarai kita untuk layak ke Sukan Olimpik. Kami sedang berusaha keras memastikan dia benar-benar bersedia, kami katakan padanya inilah masanya untuk melakukan yang terbaik, malah ini bukan untuk Soniia sahaja tetapi juga kepada semua pemain. Saya katakan kepada mereka lakukannya sekarang, atau anda akan ketinggalan,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja Bil 2/2019 sukan badminton pada Isnin. Choong Hann berkata pada masa ini, pihaknya memantau prestasi pemain di ranking ke-34 dunia itu dari semasa ke semasa berdasarkan program yang disediakan sama ada ketika latihan di gelanggang dan juga di luar gelanggang. Beliau berkata Soniia memberikan kerjasama yang baik dan bekerja keras untuk mengatasi masalah dialaminya, namun peningkatan ditunjukkan masih belum mencapai tahap diharapkan. “Dalam latihan di gelanggang bersama dengan (jurulatih) Datuk Tey Seu Bock, kami sudah ubahsuai programnya.. beberapa penekanan tertentu diberi tumpuan untuk menambah kecekapannya. “Di luar gelanggang, berhubung kekuatan dan keadaannya, kami sedang melihat cara bagi memantapkan penampilannya, kerana kami memang memantaunya sejak kebelakangan ini dan hasil perbincangan dengan jurulatih...nampaknya dia masih belum mencapai tahap yang diharapkan. Kami juga banyak berbincang denganya berhubung perkara ini,” katanya. Dalam perkembangan lain, Choong Hann berkata kesemua 16 pemain yang didaftarkan akan berlepas ke Nanning, China pada Khamis ini untuk menyertai saingan Piala Sudirman pada 19 hingga 26 Mei ini. “Persiapan skuad negara kini dalam fasa akhir. Mereka akan menjalani beberapa siri latihan lagi sebelum berlepas ke Nanning, Khamis ini,” katanya. Pada saingan Piala Sudirman kali ini, Malaysia berdepan laluan berliku apabila diundi dalam Kumpulan D bersama-sama China dan India manakala pilihan pertama Jepun diundi dalam Kumpulan A yang terdiri daripada Thailand dan Rusia, sementara Indonesia, Denmark dan England dalam Kumpulan B.Malaysia mempertaruhkan Lee Zii Jia, Cheam Jun Wei dan Soong Joo Vern dalam acara perseorangan lelaki; Goh Jin Wei, Soniia dan Lee Ying Ying (perseorangan wanita); Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin dan Nur Izzuddin (beregu lelaki). Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dan Vivian Hoo-Yap Cheng Wen (beregu wanita) serta Goh Soon Huat-Shevon Lai, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, Chen Tang Jie (beregu campuran). Pada edisi dua tahun lepas di Gold Coast, Australia, skuad negara hanya mara sehingga ke peringkat suku akhir.Untuk rekod, Malaysia tidak pernah menjuarai Piala Sudirman sejak ia diperkenalkan pada 1989 dengan pencapaian terbaik adalah mara ke separuh akhir pada edisi 2009 di Guangzhou, China.- Bernama