BARISAN pemain muda badminton negara perlu ada sikap berlumba-lumba membuktikan kemampuan mereka seandainya mahu merapatkan jurang prestasi dengan bintang dunia. Jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei berkata hanya dengan sikap tidak kenal puas dapat membantu mereka pergi lebih jauh di pentas antarabangsa. “Kita kini ketinggalan terlalu jauh dengan pemain di pentas antarabangsa dan jurang itu akan bertambah besar andai tiada usaha daripada pemain negara. “Masih belum terlambat untuk pemain lebih kompetitif bagi merapatkan jurang asalkan jangan beranggapan sudah berada di zon selesa hanya dengan berada dalam skuad kebangsaan,” kata bekas pemain nombor satu dunia itu. Tanpa Chong Wei yang masih menunggu lampu hijau untuk kembali beraksi selepas rawatan kanser hidungnya, jelas tiada pemain perseorangan negara yang mampu mengambil kesempatan menonjolkan diri. Antara pemain muda dalam skuad negara ialah pemenang pingat gangsa Kejohanan Remaja Dunia 2016, Lee Zii Jia, Cheam Jun Wei dan Tan Jia Wei. Menurutnya, situasi yang dihadapi Malaysia ketika ini adalah hampir sama dengan apa yang berlaku di Indonesia apabila bintang mereka Taufik Hidayat menggantung raket pada 2013. Sebaik Taufik bersara, Indonesia yang selama ini mempunyai bintang handalan perseorangan tiba-tiba ketiadaan pemain yang digeruni. Taufik Hidayat. “Hanya sejak kebelakangan ini kita lihat sudah ada pemain mereka yang mula digeruni seperti Jonatan Christie dan Anthony Ginting,” katanya. Beliau juga berkata jumlah pelatih perseorangan negara yang hanya lapan pemain, boleh membuatkan mereka berasa selesa kerana peluang dihantar ke pertandingan antarabangsa lebih mudah. Ini, katanya, berbeza apabila skuad itu memiliki 16 pemain yang menyebabkan masing-masing perlu membuktikan kemampuan untuk mengintai peluang beraksi di pertandingan. Selain itu, Chong Wei berkata pemain juga perlu terus berusaha sendiri dan bukan sekadar mengharapkan bantuan jurulatih sahaja. Baginya, kehadiran jurulatih terbaik sekali pun tetap tidak akan membantu jika pemain sendiri tidak berminat meningkatkan prestasi masing-masing. “Di dalam gelanggang, sumbangan jurulatih hanyalah lima peratus sedangkan 90 peratus datang daripada pemain sendiri. Bakinya pula adalah tuah. “Jadi, pemain sendirilah yang harus tahu apa yang mereka mahu lakukan,” katanya. Menurut beliau, pemain tidak boleh leka dengan pujian mereka mempunyai potensi besar. Baginya, semua pemain mempunyai potensi tapi yang penting adalah bagaimana memaksimumkan kelebihan itu untuk menjadi yang terbaik. - BERNAMA