suria

Bekas pesilat negara kecewa, 18 hari di hospital akibat kemalangan tapi... “Yakeb layan sambil lewa”

Zakri terlantar di ICU Hospital Serdang selama tiga hari selepas kemalangan 4 Mei lalu.

“MANA Yakeb?,” soal bekas pesilat negara Zakri Ibrahim yang baru dibenarkan keluar hospital pada Rabu.

Zakri,50, mengalami kemalangan pada 4 Mei lalu apabila motosikal yang dinaikinya dilanggar dari arah belakang.

Dia dikejarkan ke Hospital Serdang dan berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama tiga hari.

Susulan daripada kemalangan tersebut,  isterinya Noraswana Ahmad telah menghubungi Yakeb untuk mendapatkan surat jaminan (GL).

“Ketika itu saya masih di ICU. Isteri saya yang uruskan semua.

“Saya terkilan kerana dengan keadaan saya yang serius memerlukan rawatan ini mereka (Yakeb) melayan sambil lewa, malah tiada tindakan awal.

“Hanya beberapa hari selepas itu baru mereka menjawab permohonan isteri saya.

“Katanya mereka hanya menanggung kos rawatan sekiranya saya berada di hospital swasta,” ujar Zakri kepada mStar.

Jelasnya lagi, selama ini dia mempertahankan Yakeb jika timbul sebarang masalah.

“Sebagai bekas atlet saya masih aktif membantu Yakeb. Tetapi apabila saya ditimpa malang ini, tiada seorang pun yang peduli.

“Soal kos adalah perkara kedua, tetapi bagi saya tindakan awal yang lebih penting.

“Tetapi bagi saya, Yakeb tidak ada masalah kewangan memandangkan Mac lalu Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah menyalurkan dana sebanyak RM 3 juta.

“Dana itu adalah untuk membantu bekas atlet seperti saya,” tambahnya.

Zakri yang kini berada di rumahnya perlu menjalani rawatan sususlan berikutan patah tangan kiri, kaki kanan serta bahagian belakang melecet.

“Saya masih meninggu GL daripada Yakeb.

“Jika menjalani rawatan susulan di hospital swasta, ia bukan kos yang murah.

“Sepanjang terlantar sakit ini, Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) dan Persatuan Bekas Pesilat Negara (PBPN) mengambil inisiatif mengumpul dana untuk membantu saya,” ujar bekas juara dunia 2000 ini.

Zaki Ibrahim, Silat, kemalangan, Yakeb

Artikel Lain