suria

Dilantik CDM Sukan Para Asean 2020, kata Megat Shahriman, "Saya tak akan kecewakan negara dan atlet"

Megat Shahriman sedia untuk memikul tugas besar sebagai CDM Sukan Para Asean 2020.

BERBAKI lebih kurang 200 hari sebelum Sukan Para Asean 2020 membuka tirai, Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) mencapai persetujuan melantik Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin sebagai Chef de Mission (CDM) ke Filipina.

Pelantikan itu dibuat selepas mencapai kata sepakat Ahli Lembaga Exco MPM menerusi surat yang ditandatangani presidennya, SM Nasaruddin SM Nasimuddin pada 3 Mei lalu.

Menurut Megat Shahriman yang juga Presiden Persatuan Kanu Malaysia (Masca), beliau mengakui tugas CDM bukan sesuatu yang mudah.

"Pelantikan ini satu pengiktirafan yang saya tidak akan sia-siakan atau  mengecewakan negara dan atlet. Saya akan cuba akan menabur bakti sebaik yang boleh, terutama memastikan nama negara diharumkan dengan memenangi banyak pingat.

"Tugas mana-mana CDM memang berat. Tetapi saya mempunyai mantan (CDM) 2017,  Laksamana Pertama (B) Datuk Subramaniam Raman Nair yang sedia memberi tunjuk ajar.

"InsyaAllah dengan kerjasama yang ada ia tidak menjadi masalah kepada saya. Dan mana-mana pihak yang ingin membantu, saya sedia untuk tugas ini," jelasnya ketika sesi bertemu media pada Rabu.

Sementara itu, Subramaniam berkata, beberapa acara sukan telah disahkan akan dipertandingkan di Manila.

"Sebanyak 16 sukan telah diluluskan, sama ketika Sukan Para Kuala Lumpur 2017.

"Tetapi salah satu acara yang tidak dipertandingkan di KL2017 iaitu judo akan dipertandingkan di sana.

"Bagaimanapun, kita belum dapat senarai penuh acara tahun depan ," katanya yang merupakan Naib Presiden MPM.

Edisi ke-10 Sukan Para Asean bakal membuka tirainya pada 18 hingga 25 Januari tahun depan di tiga lokasi berbeza iaitu di Subic, Manila dan Clark.

Penganjuran ini merupakan yang kedua buat Filipina bagi temasya dwi tahunan ini.

Sebagai rekod, KL2017 menyaksikan kontinjen Malaysia muncul selaku naib juara dengan mengumpul 90 emas, 85 perak dan 83 gangsa di belakang juara keseluruhan Indonesia.

CDM, Sukan Para 2020, Megat Shahriman

Artikel Lain