PAUL Pogba berkongsi kishnya bagaimana dia bergelar seorang Muslim ketika usia 20-an. Bintang Manchester United itu mendedahkan dia sentiasa 'menanyakan dirinya mengenai banyak perkara' sebelum memeluk Islam dan mengakui jiwanya lebih tenang. Pemain antarabangsa Perancis yang mengerjakan ibadat umrah di Makkah ketika bulan Ramadan lalu memberitahu dia tidak dibesarkan sebagai Muslim, walaupun ibunya mengamalkan ajaran Islam. Namun selepas melalui beberapa tempuh sukar dalam hidup, Pogba,26, membuat keputusan mendalami ajaran Islam dengan melakukan kajian dan mengikut jejak beberapa orang kawannya yang bergelar Muslim. Pogba (tiga kanan) bersama kawan-kawannya ketika mengerjakan umrah. "Ia adalah segalanya. Itu yang membuatkan saya berterima kasih dan bersyukur untuk semua. "Ia juga telah mengubah saya, menjadi lebih realiti dalam kehidupan. Saya fikir, mungkin, membuatkan dalaman saya lebih tenang. "Satu perubahan yang baik dalam hidup saya kerana tidak dilahirkan sebagai Muslim, walaupun ibu begitu (Islam). Saya hanya membesar begitu, menghormati semua orang. "Islam bukan gambaran yang semua orang lihat - pengganas...Apa yang kita dengar di media adalah sesuatu yang berbeza. Islam adalah sesuatu yang indah. "Anda perlu tahu itu. Semua orang boleh cari satu perasaan yang berhubung dengan Islam," ujarnya ketika ditemubual oleh The Times. Kunjungan ke Makkah bulan lalu bukannya kali pertama buat Pogba. Pogba bersama ibunya Yeo (dua kiri), teman wanitanya Maria Salaues serta anaknya di Abu Dhabi. Pemain yang dikaitkan dengan Real Madrid musim depan ini pernah melawat Makkah bersama Romelu Lukaku pada tahun 2016 dan 2017. "Ia hadir (bergelar Muslim) kerana saya mempunyai ramai kawan-kawan Muslim. Kami sentiasa berbincang mengenainya. "Saya pernah sembahyang sekali dengan kawan-kawan dan timbul rasa berbeza. Saya rasa sangat baik. "Sejak hari itu saya teruskan sahaja. Anda perlu sembahyang lima kali sehari, itu antara salah satu kewajiban dalam Islam. "Walaupun anda bukan Islam, tetapi anda adalah manusia normal. Anda mempunyai hubungan dan hormat antara satu sama lain, tak kira agama atau warna dan sebagainya. "Islam mudah - menghormati antara satu sama lain dan semuanya." -dailymail.co.uk