suria

Ranking Harimau Malaya melonjak ke tangga 159 dunia

SKUAD Harimau Malaya berada di kedudukan terbaik dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sejak Julai 2017, apabila menghuni tangga ke-159 setakat bulan ini.

Malaysia menghuni tangga ke-167 dunia pada Julai 2017, sebelum kedudukan terus merosot sehingga mencatat sejarah terburuk dengan menduduki tangga ke-178 pada Mac tahun lepas.

Berdasarkan senarai ranking terbaharu dikeluarkan FIFA hari ini, kedudukan ke-159 itu menyaksikan Malaysia melonjak sembilan tangga berbanding ke-168 pada April lepas, dan menjadi antara tiga negara yang melakar peningkatan terbaik selain Armenia dan Hungary.

Peningkatan itu ekoran kemenangan 2-0 dicatat skuad kendalian ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe ke atas Nepal pada aksi persahabatan awal bulan ini, sebelum membelasah Timor Leste 7-1 dan 5-1 dalam dua aksi playoff Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 baru-baru ini.

Senarai terbaharu itu juga menyaksikan Malaysia menghuni tempat ke-32 terbaik Asia dan kelima Asia Tenggara di belakang Vietnam (96), Thailand (116), Filipina (126), dan Myanmar yang menduduki tangga ke-138.

Negara jiran, Indonesia turun ke tangga ke-160 sementara Singapura jatuh dua tangga di kedudukan ke-162.

Belgium kekal sebagai pendahulu ranking dunia manakala Juara Piala Dunia 2018, Perancis di kedudukan kedua dan Brazil ketiga. - Bernama

Harimau Malaya, ranking

Artikel Sebelum

Artikel Lain