PAHANG merapatkan jurang mata dengan pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas mengatasi wakil Perak, PKNP FC 2-0 di Stadium Darul Makmur, Kuantan. Kemenangan kelapan daripada 16 perlawanan berkenaan menyaksikan skuad Tok Gajah kekal berada pada tangga kedua dengan kutipan 30 mata. Pada aksi di Kuantan, Pahang membuka tirai jaringan menerusi pemain import baharu, Lazarus Kaimbi pada minit ke-20, sebelum penyerang berbisa, Dickson Nwakaeme mengesahkan kemenangan pasukan tuan rumah dengan gol kedua pada minit ke-30. Kedah pula memintas kedudukan Selangor di tangga ketiga carta Liga Super selepas menang tipis 3-2 ke atas PKNS FC di Stadium Shah Alam. Tiga gol skuad Lang Merah dijaringkan oleh kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar seawal minit kesembilan perlawanan, Mohammad Fayadh Mohd Zulkifli Amin (minit ke-69) dan Mohd Rizal Ghazali pada minit ke-90. Dua gol pasukan tuan rumah disumbangkan oleh Kpah Sean Sherman menerusi sepakan penalti pada minit ke-52 dan gol padang pada minit ke-65. Perak pula memintas kedudukan Melaka di tangga kelima setelah menang bergaya 3-1 ke atas Terengganu FC (TFC) di Stadium Perak, Ipoh. Tiga gol skuad ‘The Bos Gaurus’ dijaringkan oleh kapten pasukan, Shahrul Mohd Saad pada minit ke-34 serta dua gol pemain import dari Brazil, Ronaldo Henrique Silva pada minit ke-69 dan minit ke-77. TFC berjaya merapatkan jurang menerusi pemain kebangsaan Kemboja, Thierry Chantha Bin pada minit ke-88.Perak sebelum itu berpeluang menambah jaringan pada minit ke-49, namun sepakan penalti yang diambil Raianderson da Costa Morais ditepis penjaga gol TFC, Muhamad Ilham Amirullah Razali. Terdahulu, TFC terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah Dechi Marcel N'Guessan dilayangkan kad merah oleh pengadil, Muhammad Nazmi Nasaruddin pada minit ke-27 kerana mengasari pemain Perak, Leandro Dos Santos. Petaling Jaya City FC (PJ City FC) turut meraih tiga mata selepas menewaskan Felda United 1-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil, hasil tandukan bekas pemain kebangsaan, Mohd Safee Sali pada minit terakhir babak pertama perlawanan. Terdahulu, PJ City FC terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah Mohd Nasriq Baharom dilayangkan kad merah pada minit ke-63 kerana mengasari pemain pelawat.Dalam saingan Liga Premier, Johor Darul Ta’zim II (JDT II) mengekalkan kedudukan teratas walaupun seri 1-1 dengan Kelantan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu. Skuad Harimau Selatan terlebih dahulu berada di hadapan pada minit kelima menerusi sepakan penalti yang disempurnakan pemain antarabangsa Lubnan, Mohamad Ghaddar, sebelum Mohamad Azwan Mohd Aripin menyelamatkan maruah pasukan tuan rumah menerusi gol penyamaan pada minit ke-55. Negeri Sembilan pula meraih tiga mata di laman sendiri setelah menundukkan Selangor United 3-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.Tiga gol skuad Rusa dijaringkan oleh Shunsuke Nakatake pada minit ke-13, Jose Almir Barros Neto (minit ke-70) dan Igor Carneiro Luiz pada minit ke-88.- Bernama