MUNGKIN sudah tiba masanya peluang diberikan kepada kepimpinan baharu untuk membangunkan semula Persatuan Hoki Kuala Lumpur (PHKL) menjelang pemilihan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu pada Sabtu ini. Menurut calon naib presiden PHKL, Muhammad Fariz Mustafa, pihaknya tidak menafikan sumbangan kepimpinan terdahulu, namun pada masa sama percaya badan induk itu memerlukan nafas baharu dalam mengembalikan status Kuala Lumpur sebagai gergasi tanah air. "Walaupun terdapat banyak bakti yang dicurahkan kepimpinan terdahulu tapi sebagai nafas baharu kepada PHKL kami harap diberikan peluang untuk memberi lebih banyak penambahbaikan dari aspek yang tidak pernah dipelopori khususnya penajaan. "Selain itu, kami juga bercadang untuk memperkenalkan sistem pengumpulan data pemain, kami percaya dengan adanya sistem berkenaan ia dapat meningkatkan pembangunan hoki di sini," katanya. Sementara itu, calon Timbalan Presiden PHKL, I Vikneswaran senada dengan Fariz apabila berharap diberikan peluang untuk memastikan pembangunan akar umbi dan peningkatan prestasi persatuan dapat diketengahkan ke peringkat lebih tinggi. Megat Shahriman bakal mencabar penyandang presiden sedia ada. "Sudah tentu kami mahukan program pembangunan yang teratur dan pengurusan yang sahih selain penganjuran liga yang lebih sempurna membabitkan penyertaan diperingkat pelbagai lapisan umur. "Kalau kita lihat sudah lama kita tidak memenangai Piala Tun Razak dan disini pembangunan adalah penting, jadi semua ini sememangnya dalam perancangan kepimpinan baharu," jelasnya yang mengharapkan semua pengundi akan menunaikan tanggungjawab demi masa depan PHKL. Pada AGM yang bakal diadakan pada Sabtu ini memperlihatkan semua jawatan yang dipertandingkan kecuali untuk Bendahari di mana penyandangnya Daljit Singh menang tanpa bertanding. Bagi jawatan Presiden pula membabitkan pertembungan penyandang sedia ada Datuk Abu Huraira Yazid ang akan dicabar Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin manakala Timbalan Presiden, penyandang S Samson akan melawan I Vikneswaran. Jawatan setiausaha pula, Muthu Kannu Veerapan akan menentang penyandang jawatan sebelum ini iaitu V Rajamanickam yang sudah lebih 20 tahun berbakti buat PHKL. Bagi jawatan Naib Presiden, terdapat 11 individu yang dicalonkan bagi merebut jawatan tersebut antaranya Oomen Koshy, Major (R) Raj Kumar, Mohd Faithal Hassan, K, Maheswari dicalonkan bagi mengekalkan kedudukan mereka. Enam lagi pencabar lain ialah , Dr. Jasminder Kaur, Wan Muhammad Faizal, S Vigneswaran, Muhammad Fariz Mustafa, Meor M Shahril dan Heizinah Sidon.