suria

DNA Bola Sepak Malaysia: Semua FA wajib lantik pengarah teknikal - Hamidin

BAGI memastikan pembangunan akar umbi bola sepak negara mendapat hasil yang positif, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersedia untuk mewajibkan setiap Persatuan Bolasepak Negeri (FA) melantik pengarah teknikal.

Sehingga kini hanya beberapa FA sahaja yang mempunyai pengarah teknikal yang menyebabkan FAM kesal dengan kedegilan serta kegagalan persatuan untuk berbuat demikian.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, kegagalan FA untuk menyediakan pengarah teknikal bukan saja akan membantutkan usaha melahirkan pemain berkualiti, malah ia turut mengganggu ekosistem bola sepak di peringkat akar umbi.

"Setelah sekian lama semua pasukan tak ada pengarah teknikal, saya terpaksa letak ia sebagai mandatori bagi merealisasikan perkara ini.

"Pasukan negeri dan kelab nak kejar Piala Malaysia, liga dan Piala FA tapi sebenarnya mewujudkan pengarah teknikal lebih penting. Kalau tidak bola sepak kita tak akan berkembang dan tak kan ke mana-mana.

"Kita bukan nak hukum tapi kita kena bertegas dalam hal ini. Selepas saya semak dengan Peter De Roo (Pengarah Teknikal FAM), saya tak gembira kerana separuh FA tidak ada pengarah teknikal. Saya akan bangkitkan isu ini dalam Kongres FAM pada Sabtu ini," katanya ketika ditemui pada pelancaran DNA Bola Sepak Malaysia, Selasa.

Pada majlis yang julung kali diadakan itu, FAM melancarkan DNA bola sepak negara sebagai rujukan bagi semua pihak memahami corak permainan mengikut acuan bola sepak sendiri.

Sambil menekan formasi 4-3-3 sebagai asas permainan Malaysia, ia adalah manifestasi falsafah bola sepak yang turut merangkumi sistem kejurulatihan yang seragam merentasi peringkat umur bermula dari akar umbi hingga elit.

Jelas Hamidin, DNA ini akan diselaraskan kepada semua FA dan kelab termasuk Akademi Bolasepak Mokhtar Dahari di Gambang, Pahang bagi diikuti oleh semua pihak bermula dari akar umbi.

"FAM kena keluarkan duit lagi untuk program macam ini dan saya begitu serius dan FA atau mungkin kelab perlu ikut. Kita akan terus mendidik ahli gabungan dan perkara penting adalah mempunyai pengarah teknikal," katanya.

Hamidin, DNA Bola Sepak Malaysia, FAM

Artikel Lain