suria

Safawi penjaring terbanyak pemain tempatan, “Saya masih belum selesa dan puas”

Safawi mengakui kejayaan yang dirakamnya ini tidak akan hadir tanpa bantuan rakan-rakan serta jurulatih. Foto kredit: FB Johor Sourthern Tigers

KELIBAT Safawi Rasid memang sentiasa ditunggu-tunggu di atas padang.

Walaupun pemain berusia 22 tahun ini dianggap antara penyerang berbisa dalam negara, ternyata Safawi tidak asyik dibuai dengan pujian-pujian, malah mengakui masih banyak yang perlu dilakukan.

Penutup Liga Super musim ini menyaksikan nama Safawi terus berada dalam kondisi terbaik apabila dia menjadi penjaring terbanyak bagi pemain tempatan bersama skuad Johor Darul Ta'zim (JDT).

Pemain berjersi No. 10 itu bagaimanapun mengakui musim ini graf jaringan golnya lebih baik berbanding tahun lalu.

"Alhamdullillah tahun ini saya dapat juga menjaringkan lapan gol berbanding musim lalu hanya lima jaringan.

"Pun begitu, saya tidak anggapnya sebagai yang terbaik dan tidak begitu selesa dengan keadaan sekarang. Ini kerana, saya perlu lebih lagi bekerja keras.

"Dalam diri saya tidak ada istilah mudah puas dengan sesuatu," jelasnya kepada kepada mStar.

Sherman menjadi pemain paling berbisa Liga Super musim ini.

Menurut pemain kelahiran Dungun, Terengganu ini prestasinya tidak akan berada di tahap sekarang tanpa sokongan rakan sepasukan di kelab.

"Terima kasih kepada jurulatih (Luciano Figueroa) yang memberi tunjuk ajar kepada saya ketika latihan. Begitu dengan rakan-rakan sepasukan yang terus menyokong ketika berada di padang.

"Bagi saya, untuk menjadi pemain yang konsisten, perkara paling penting adalah disiplin yang tinggi. Tanpanya saya tidak akan ke mana-mana.

"Saya juga gembira kerana tahun ini kami masih lagi mengekalkan gelaran juara Liga Super, kali keenam berturut-turut.

"Walaupun aksi Liga Super sudah berakhir persiapan seterusnya adalah fokus kepada Piala Malaysia," ujarnya yang mengakui kepercayaan dan sokongan daripada Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim antara faktor pasukan ini terus berjaya.

JDT juga direkodkan sebagai pasukan paling banyak merakam jaringan dengan 49 gol.

Manakala pasukan Kuala Lumpur direkodkan sebagai pasukan paling banyak bolos, 49 gol.

Sementara itu, penyerang PKNS FC Kpah Sherman dinobatkan sebagai penjaring terbanyak bagi kategori pemain import dengan 14 gol.

Manakala jumlah kehadiran penyokong paling tinggi sepanjang Liga Super berlangsung musim ini di antara perlawanan Pahang dan Terengganu dengan rekod 28,000 kehadiran.

Lima pasukan terbaik yang menamatkan saingan musim ini adalah JDT (53 mata), Pahang (43), Selangor (37), Kedah (34) dan Perak dengan 33 mata.

Safawi Rasid, Sherman, JDT, PKNS

Artikel Lain