KEJOHANAN Remaja Antarabangsa Ireland pada hujung bulan ini jelas menjadi medan terbaik buat skuad kanu polo negara menguji keberkesanan latihan yang dijalankan sejak awal tahun ini. Tanpa meletakkan sebarang sasaran pingat, kejohanan yang dijangka menarik penyertaan kuasa dunia seperti Hungary itu menjadi antara pentas untuk lima atlet negara menimba sebanyak mungkin pengalaman. Ia sebagai persiapan akhir skuad kanu polo negara sebelum menghadapi Kejohanan Kanu Polo Asia di Ningbo, China pada September ini dan hakikat itu diakui bendehari Persatuan Kanu Malaysia (Masca), Mohd Nadzrul Baharom. "Kita akan menghantar seramai lima atlet utama ke Belfast, Ireland untuk mereka menimba pengalaman sebelum ke Kejohanan Kanu Polo Asia selepas ini. Ireland dianggap sebagai medan mencari pengalaman buat skuad kanu polo remaja negara. "Sepatutnya Kejohanan Asia berlangsung di Iran pada 31 Julai hingga 3 Ogos ini tetapi kerana kurang mendapat sambutan ia terpaksa dibatalkan sekali gus menyebabkan kejohanan di China nanti menjadi kejuaraan utama," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa. Kejohanan Remaja Antarabangsa Ireland bakal menjadi kejohanan kedua disertai pasukan negera selepas sekadar meraih kedudukan kedua tercorot pada Kejohanan Antarabangsa Pas de Calais di Perancis, April lalu. Meskipun kanu polo tidak dipertandingkan dalam Sukan SEA Filipina 2019, namun ia tetap penting ia antara salah satu acara utama Sukan Asia Hangzhou 2022. Sebagai rekod, skuad kanu polo negara yang beraksi pada Sukan Asia 2018 di Jakarta meraih pingat perak. Pencapaian tersebut amat membanggakan, lebih-lebih lagi berjaya menewaskan juara bertahan enam kali, Taiwan pada aksi separuh akhir, namun terpaksa akur dengan kehebatan Jepun yang merangkul pingat emas. Selain itu, Malaysia juga menghuni kedudukan ranking kesembilan dunia bagi kategori bawah 21 tahun sekali gus berpotensi memenangi pingat emas pada Sukan Asia akan datang.