UNAI Emery perlu menjual penyerang Arsenal Henrikh Mkhitaryan sebelum jendela perpindahan pemain ditutup. Cadangan itu disyorkan penganalisis bola sepak, Nigel Winterburn yang juga bekas pemain pertahanan Arsenal. Bintang Armenia itu mempamerkan prestasi tidak menentu di Emirates selepas terbabit dalam rundingan pertukaran dengan Alexis Sanchez dari Manchester United tahun lalu. Pemain berusia 30 tahun itu dilihat berusaha mempamerkan aksi terbaiknya sewaktu diturunkan Emery ketika Arsenal menewaskan Newcastle United minggu lalu. Winterburn percaya Mkhitaryan akan digugurkan daripada skuad utama sebaik tonggak utama kembali cergas dan Arsenal digesa supaya melepaskan segera pemain itu. "Arsenal perlu mencari jalan untuk menjual Mkhitaryan ke sebuah kelab Eropah pada perpindahan musim ini. "Apabila tonggak utama kembali pulih untuk Arsenal, Mkhitaryan akan bergelut merebut tempat dalam skuad utama pasukan sepanjang musim ini. "Prestasinya semasa menentang Newcastle belum cukup bagus terutama apabila anda beraksi di tahap tertinggi. "Tidak dinafikan Mkhitaryan pemain berbakat tetapi dia akan bergelut untuk beraksi apabila semua pemain cergas," katanya. Winterburn turut mendakwa Pierre-Emerick Aubameyang akan menjadi pemain penting untuk Arsenal pada musim ini. Penyerang Gabon itu mempamerkan aksi menakjubkan ketika Arsenal menang di St James' Park, Sabtu lalu. - Metro.co.uk