PHILIPPE Coutinho mahu kembali semula ke Liverpool sebelum melengkapkan perpindahan ke Bayern Munich. Barcelona terbuka menjual bintang Brazil itu pada musim panas ini tetapi dia menyertai Bayern secara pinjaman dengan kelab gergasi Jerman itu mempunyai pilihan untuk membelinya pada harga 120 juta euro. Coutinho sering dikaitkan bakal kembali semula ke pentas Liga Perdana Inggeris dengan Manchester United, Tottenham dan Arsenal berminat untuk mendapatkan khidmatnya. Menurut laporan The Athletic, wakil Countinho mendedahkan pemain itu sebenarnya mahu kembali memperkuat The Reds. Namun difahamkan Liverpool tidak berminat dengan rundingan pinjamannya yang disifatkan terlalu mahal. Malah Jurgen Klopp berpendapat kehadiran Coutinho tidak akan memperkukuhkan pasukannya kerana dia mempunyai ramai penyerang berkualiti ketika ini. Klopp juga mengakui perpindahan itu terlalu mahal untuk Liverpool. - Metro.co.uk