suria

Najmudin akur terpaksa gantung but 9 bulan - “Mula-mula ‘down’ tapi tak putus asa”

Najmudin terpaksa akur berehat panjang selepas pembedahan ACL. Foto: M.Najmudin.

PEMAIN muda Bawah 16 Tahun Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Muhammad Najmudin Akmal Kamal Akmal mengakui sedikit kecewa apabila terpaksa berehat panjang untuk tempoh sembilan bulan.

Penyerang muda ini terpaksa melalui tempoh itu selepas mengalami kecederaan ketika aksi bertemu Kedah dalam saingan Piala Belia minggu lalu.

Lebih malang buat pemain kelahiran Selangor ini, dia terpaksa menjalani pembedahan ACL (Anterior Cruciate Ligament) Khamis lalu sekaligus memadam hasratnya untuk beraksi dalam skuad remaja kebangsaan tahun ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Teong Kim kecewa jadual Piala Belia ‘jahanamkan’ pemain AMD - “Apalah nasib Najmudin, FAM sendiri tak peduli”

"Mula-mula kena tu memang ada rasa down sikit sebab tak sangka sampai kena jalani pembedahan, tapi saya cuba fikirkan dari sudut positif dan teruskan rawatan fisioterapi di Institut Sukan Negara (ISN).

"Buat masa sekarang saya tinggal di Majlis Sukan Negara (MSN) dan menumpang bersekolah di Bukit Jalil," ujarnya ketika dihubungi mStar.

Pelajar Akademi Mokhtar Dahari (AMD),  Gambang ini memberitahu, dia tidak akan berputus asa untuk meneruskan impiannya bermain hingga ke peringkat tertinggi.

"Saya ingin jadi seperti Luqman Hakim yang dapat tawaran bermain di Belgium.

Najmudin antara penyerang muda yang mempunyai peluang cerah untuk ke peringkat yang lebih tinggi. Foto: M.Najmudin

"Dalam masa sama, saya tidak mahu push untuk cepat sembuh kerana sedar kecederaan seperti ini memerlukan masa untuk kembali seperti biasa.

"Sokongan keluarga juga menjadikan saya lebih tabah dan jurulatih Lim Teong Kim turut berpesan supaya pastikan kecederaan pulih sepenuhnya dulu.

"Hujung tahun ini ada Kelayakan AFC Bawah 19 tahun dan sekiranya pasukan negara berjaya, saya akan cuba untuk dapatkan tempat bagi saingan tahun depan.

"Buat masa sekarang saya hanya akan buat latihan ringan serta jalani rawatan," jelas anak ketiga daripada empat beradik ini.

Tambah Najmudin, saingan Piala Belia agak mencabar baginya yang berusia 16 tahun.

"Kami melawan dengan pasukan Bawah 19 Tahun dan perlu bekerja keras ketika bertemu mereka.

"Perlawanan dua hingga tiga kali seminggu memang agak sengit dan membuatkan masa kami untuk berehat agak terhad," katanya.

Najmudin antara penyerang muda yang mempunyai peluang besar untuk mencipta nama di peringkat lebih tinggi.

Aksinya ketika menyarung jersi B-16 tahun dalam Kejuaraan Piala AFC tahun lalu turut mencuri tumpuan penyokong-penyokong bola sepak tempatan.

Najmudin, AMD, Lim Teong Kim

Artikel Lain