TOTTENHAM bimbang Harry Kane akan meninggalkan Spurs pada musim panas akan datang selepas dilaporkan hilang sabar dengan kelab itu. Penyerang itu menjaring 171 gol dalam 262 penampilan bersama Spurs tetapi masih belum menjulang sebarang trofi berprestij sepanjang kariernya di utara London. Terdahulu Kane pernah menarik minat Manchester United, Real Madrid dan Bayern Munich tetapi kali ini peluang untuk mendapatkan khidmatnya semakin terbuka luas. Spurs bergelut dengan prestasi tidak menentu musim ini dan lebih mengejutkan mereka tewas 2-7 pada aksi Liga Juara-Juara di tangan Bayern Munich, malam Selasa. Kane dilaporkan berang selepas itu dan Times melaporkan dia dan kapten Hugo Lloris menggesa rakan pasukan supaya bangkit memperbaiki corak permainan mereka seperti musim lalu. Kontrak Kane akan berakhir pada 2024. Bagaimanapun masa depan Mauricio Pochettino masih menjadi teka-teki sekali gus menimbulkan kebimbangan Kane akan menghantar permohonan pindah (transfer request) seperti pemain senior lain. Metro.co.uk