PERENANG muda Sarawak Ayrton Lim yang ditemui mati pada Khamis sempat memuat naik status terakhirnya di Instastory lebih kurang 10 jam sebelum insiden pada Khamis. Ayrton yang berusia 19 tahun dipercayai mengalami kemurungan ditemui tidak sedarkan diri di bahagian ruang tamu rumahnya. Namun sebelum insiden, Ayrton sempat memuat naik status di Instastorynya.Tulis Ayrton, “It has been a wonderful 19 years, and i’m grateful if you’re part of it :) Thank you." Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani berkata, mangsa didapati tidak sedarkan diri di bahagian ruang tamu rumahnya. “Pasukan paramedik bergegas ke lokasi kejadian dan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian. “Menurut ibunya, mangsa mengalami kemurungan sejak tiga hari lalu,” katanya dalam satu kenyataan. Awang Din berkata, siasatan awal mendapati tiada unsur-unsur jenayah. Ketika kejadian, ibu mangsa tiada di rumah kerana menjemput adiknya pulang dari sekolah. Mangsa sebelum ini pernah mewakili Sarawak dalam Sukan Malaysia (Sukma) dan dikatakan baru pulang menjalani latihan di Singapura. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.