BINTANG Juventus CRISTIANO Ronaldo kecewa selepas dikeluarkan Maurizio Sarri selepas didakwa gagal memberikan sebarang kesan kepada pasukan ketika menentang AC Milan. Malah pemenang lima kali anugerah Ballon d'Or itu turut berang apabila dikeluarkan buat kali kedua oleh bekas pengurus Chelsea itu dalam tempoh seminggu. Ronaldo, 34, dilihat melepaskan kemarahannya di terowong pemain selepas dikeluarkan pada minit ke-55. Dia turut dilaporkan mencerca Sarri ketika berjalan melepasi pengendali dari Itali itu. Susulan tindakannya itu, Ronaldo berdepan risiko dikenakan hukuman gantung dua tahun. Ronaldo melapor diri bersama Portugal untuk kelayakan Euro 2020 dan dia dituntut membuat permohonan maaf berhubung keceluparannya itu. Bekas bintang Manchester United itu dilihat menggosok lututnya semasa perlawanan tersebut. Sarri yang mengakui tidak bergaduh dengan Ronaldo mendedahkan dia terpaksa mengeluarkan Ronaldo yang dilihat bergelut dengan kecederaan. "Kami harus berterima kasih kepada Ronaldo kerana dia berkorban untuk beraksi dalam keadaan sukar. "Dia sudah melakukan yang terbaik tetapi saya melihat dia seperti kesakitan dan perkara terbaik adalah mengeluarkannya," kata Sarri. - The Sun