suria

Hamidin tagih tiga mata bertemu Indonesia “Tiada istilah seri atau kalah”

Hamidin bertemu dengan skuad Harimau Malaya yang bakal bertemu Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini. Foto: FAM

PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Haji Mohd Amin menagih tiga mata penuh daripada skuad Harimau Malaya menjelang perlawanan kelima Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Indonesia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Selasa malam.

Harapan tersebut disandarkan kepada skuad kendalian Tan Cheng Hoe ini bagi memastikan memastikan pasukan negara terus berada dalam persaingan merebut tempat ke pusingan seterusnya dan layak ke Piala Asia 2023.

"Saya melihat perlawanan malam ini cukup istimewa kerana kita boleh lihat, walaupun perlawanan pada hari bekerja (Selasa), tiket telah pun habis dijual pada Sabtu lalu.

"Para penyokong Harimau Malaya menganggap pertemuan dengan Indonesia ini satu pertembungan 'rival'. Jadi menjadi tanggungjawab para pemain untuk menterjemahkan kemenangan dan kejayaan pada aksi malam ini.

"Jangan kecewakan para penyokong kita yang hadir ke stadium. Tiada seri atau kalah, hanya kemenangan kerana ia penting untuk imej dan moral pasukan untuk terus bersaing dalam Kumpulan G ini.

"Saya yakin para pemain memiliki kualiti untuk meneruskan momentum dan meraih kemenangan ketiga berturut bulan ini selepas kita berjaya menewaskan Tajikistan 1-0 dan Thailand 2-1.

"Apa pun, jangan terlebih yakin kerana Indonesia walaupun telah kalah kesemua empat perlawanan sebelum ini, mereka juga pasti mahu mencipta kejutan," jelasnya ketika sesi bertemu pemain-pemain pagi Selasa.

Turut hadir, Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi yang juga pengurus pasukan serta Datuk Posa Majais, penolong pengurus pasukan.

Hamidin turut menasihati para penyokong Harimau Malaya supaya menjaga tingkah laku dan hanya fokus untuk memberikan sokongan padu kepada para pemain yang beraksi di atas padang tanpa sebarang provokasi kepada penyokong pasukan lawan demi memastikan kelancaran perlawanan malam ini.

Artikel Berikut

Artikel Lain