MISI Malaysia memburu ‘ibu segala pingat’ pada temasya Sukan SEA 2019 masih belum meyakinkan apabila sekadar seri 1-1 dengan Myanmar pada perlawanaan pembukaan Kumpulan A di Stadium Rizal Memorial di sini, pada Isnin. Beraksi di atas padang tiruan, skuad negara bawah 22 tahun itu dilihat goyah di awal permainan serta ketiadaan Muhammad Safawi Rasid nyata memberi kesan apabila pemain muda, Luqman Hakim Shamsudin dan Muhammad Umar Hakeem Suhar Rezwan diberi kepercayaan dalam kesebelasan utama. Bagaimanapun, Myanmar bermula garang apabila membuka tirai jaringan seawal minit ke-13 menerusi tandukan penyerang Kyaw Soe Moe yang menyudahkan sepakan sudut oleh ketua pasukan, Hlaing Bo Bo. ARTIKEL BERKAITAN: Ini bukan kali pertama... Kim Swee jawab kenapa Safawi tak tersenarai dalam skuad Sukan SEA Namun, skuad negara bimbingan Datuk Ong Kim Swee bangkit untuk gol penyamaan menerusi penyerang negara Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak yang menyudahkan hantaran Muhammad Akhyar Abdul Rashid pada minit ke-24. Skuad negara mempunyai peluang untuk menjaringkan gol kemenangan di lewat babak permainan apabila tandukan Hadi Fayyadh, hasil sepakan percuma Muhammad Daniel Amier Norhisyam, melepasi palang gol. Tindakan Kim Swee menggantikan Luqman dengan Mohamad Faisal Abdul Halim manakala Umar diganti oleh J. Dinesh pada babak kedua perlawanan tidak memberi kesan kepada keputusan tersebut. Malaysia akan menentang tuan rumah Filipina pada Jumaat ini, dikuti dengan Timor Leste (Isnin) dan Kemboja, dua hari kemudian. Dalam pada itu, Kumpulan B terdiri daripada juara bertahan, Thailand, Indonesia, Vietnam, Laos, Singpura dan Brunei. Hanya dua pasukan teratas kumpulan layak ke separuh akhir. Kali terakhir Malaysia memenangi emas di pentas Sukan SEA adalah pada edisi 2011 di Jakarta. Pada edisi 2017, Malaysia merangkul pingat perak selepas tewas 0-1 kepada Thailand.- BERNAMA