PENGENDALI Real Madrid, Zinedine Zidane menegaskan keutamaan kelab itu ketika ini adalah mendapatkan khidmat pemain bintang Manchester United, Paul Pogba. Zidane dan Pogba sering mendedahkan kepada umum bahawa mereka saling mengagumi antara satu sama lain tetapi Real gagal menyempurnakan perpindahan pemain itu pada musim panas lalu. Namun Zidane masih belum berputus-asa untuk membawa masuk Pogba pada awal tahun depan selepas menolak dua peluang untuk mendapatkan khidmat dua pemain bintang lain. Wartawan Sepanyol, Eduardo Inda berkata Real Madrid fokus untuk menyambar khidmat pemain Tottenham, Christian Eriksen atau Fabian Ruiz dari Napoli pada jendela perpindahan akan datang. Namun tawaran Presiden Real, Florentino Perez terhadap dua pemain itu kepada Zidane turut ditolak pengendali dari Perancis itu. "Zidane bertanya mengenai Paul Pogba setiap hari. "Di Real Madrid mereka menegaskan mereka boleh mendapatkan khidmat Fabian atau Eriksen. "Tapi Zidane hanya mahu Pogba dan itu mencetuskan banyak masalah," kata Inda. - Mirror.co.uk