suria

Sukan SEA: MOM akui masih terlalu awal membuat aduan terhadap tuan rumah

Norza (tengah) bersama atlet-atlet kontenjen negara ke Filipina. Foto: IZZRAFIQ ALIAS / The Star.

BERBAKI dua hari sebelum Sukan SEA ke-30 membuka tirai secara rasmi, masih terlalu awal untuk Malaysia menerusi Majlis Olimpik Malaysia (MOM) membuat sebarang aduan mengenai penganjuran kali ini.

Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria bagaimanapun berkata sebarang aduan melibatkan kontinjen negara, telah dibuat melalui ketua kontinjen Malaysia ke temasya dwitahunan itu, Datuk Megat Zulkarnain Omardin serta pegawai kontinjen, terus kepada Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Filipina (PHISGOC).

"Tentu sahaja penganjur akan menghadapai masalah pada permulaan ini dan kita belum sampai ke peringkat membuat ‘return complaint’, namun apa yang kita buat sekarang adalah menerusi pegawai dan ketua kontinjen, untuk berhubung terus dengan PHISGOC.

"Setakat ini penganjur mengambil maklum dan menyelesaikan banyak masalah tersebut dengan segera. Kita percaya dengan kluster yang jauh jaraknya, tentu akan beri masalah pada permulaan ini, namun saya yakin dengan adanya mesyuarat di peringkat tertinggi esok, perkara ini akan dapat diselesaikan," katanya.

Mohamad Norza akan bertolak ke Filipina, hari ini, untuk turut serta bersama-sama presiden Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) Asia Tenggara, dalam mesyuarat Mesyuarat Majlis Persekutuan Sukan SEA ( SEAGF) pada esok bagi membincangkan perkara susulan, berkaitan perubatan dan anti-doping.

"Di samping itu banyak perkara berhubung kait dengan kontinjen juga akan dibawa dalam mesyuarat tersebut dan kita berharap perkara melibatkan penempatan, logistik serta venue pertandingan, akan dapat taklimat terkini daripada PHISGOC," katanya yang akan ke perkampungan sukan di Clark terlebih dahulu, hari ini.

Kontinjen negara yang diwakili 773 atlet dalam 52 daripada 56 jenis sukan yang dipertandingkan meletakkan sasaran 70 pingat emas, 51 perak dan 105 gangsa.

Sukan SEA ke-30 di Filipina akan membuka tirai pada 30 November, manakala penutup pada 11 Dis ini akan diadakan di tiga kluster utama iaitu Manila, Clark dan Subic. -Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

Pelakon Lan Zailan meninggal dunia