ISU tiada makanan halal dibekalkan kepada kontinjen negara ke Sukan SEA ke-30 hanya berlaku di Manila, tidak dilaporkan berlaku di perkampungan sukan di Clark. Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail menjelaskan perkara itu berlaku disebabkan atlet yang bertanding di Manila ditempatkan di hotel berbanding perkampungan sukan di Clark."Masalah banyak berlaku di Manila sebab hotel. "Masalah banyak berlaku di Manila sebab hotel. Dekat perkampungan sukan sudah tidak timbul isu makanan halal sekarang. Namun pihak hotel sudah mula mendapatkan makanan halal. Sudah ada perkembangan tapi kita masih bekalkan dengan pek makanan segera daripada Brahim’s. "Ia cita rasa rakyat Malaysia. Mereka boleh buat pilihan mahu makan makanan yang disediakan penganjur atau Brahim's. Kalau penganjur ada masalah berkaitan makanan halal lagi, ia sepatutnya selesai menjelang 28 Nov (hari ini)," katanya pada majlis penghantaran Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA ke-30 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Pada Rabu, media melaporkan sebanyak 500 kotak besar pek makanan Brahim's diterbangkan khas ke Filipina bagi keperluan atlet dan pegawai negara sepanjang temasya dwitahunan itu berlangsung. Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata ketua kontinjen Datuk Megat Zulkarnain Omardin serta dua timbalannya, Ahmad Faedzal Md Ramli dan Nurul Huda Abdullah menjalankan tugas mereka dengan proaktif dalam menjaga kebajikan atlet dan pegawai. "Pegawai MSN dan Institut Sukan Negara (ISN) pun ada di sana. Kita ada pelan B berkaitan masalah makanan, Brahim's turut membantu pastikan makanan atlet dapat dijaga. Kita pantau dari dekat dan kalau masalah sebegini timbul, kita akan gunakan saluran sedia ada untuk membuat aduan. "Iaitu menerusi ketua kontinjen. Kita telah menyuarakan keprihatinan kita tapi untuk sekarang kita hanya mahu pastikan kebajikan atlet dapat dijaga sebaik mungkin," katanya. Selain masalah makanan halal, difahamkan, pelbagai aduan dikemukakan termasuk tentang masalah pengangkutan serta penginapan selain kerja pembinaan yang didakwa masih dilakukan di beberapa lokasi acara. -Bernama