suria

Malaysia hantar 215 atlet ke Sukan Para Asean

Skuad goalball antara penyumbang pinga emas pada edisi Sukan Para Asean dua tahun lalu di Kuala Lumpur. Foto: Bernama

MALAYSIA dengan 215 atlet menjadi kontinjen keempat terbesar menyertai temasya Sukan Para Asean 2020 di Filipina, Januari depan, menurut Persekutuan Sukan Para Asean (APSF).

Thailand menghantar kontinjen terbesar dengan 317 atlet diikuti juara bertahan, Indonesia (306) manakala tuan rumah, Filipina menyenaraikan 274 atlet pada temasya sukan dwitahunan itu yang akan berlangsung di tiga kluster - New Clark City, Subic dan Manila dari 18 hingga 24 Januari depan.

Vietnam akan diwakili oleh 109 atlet, Myanmar (108), Kemboja (76), Singapura (61), Laos (31), Brunei (31) dan Timor Leste menghantar 10 atlet.

Menurut kenyataan APSF hari ini, sukan edisi ke-10 itu menjadi temasya terbesar dalam sejarah 19 tahun sukan itu dengan penyertaan 1,533 atlet dan 829 pegawai dari 11 negara, melepasi jumlah 1,452 atlet pada edisi lalu di Kuala Lumpur pada 2017.

Sebanyak 16 sukan akan dipertandingkan dengan sukan tempuh halangan para sebagai sukan demonstrasi.

Sukan yang dipertandingkan ialah olahraga, memanah, badminton, boccia, catur, berbasikal CP, bola sepak, goalball, judo, powerlifting, renang, tenpin boling, ping pong, triatlon, bola tampar duduk dan bola keranjang berkerusi roda.

Temasya sukan tersebut merupakan platform terbaik untuk atlet memburu tiket kelayakan ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.-Bernama

Sukan para Asean, Filipina, 2019

Artikel Lain