suria

Pelari dari Denmark rangkul juara acara Terbuka Lelaki 84KM TNF-MMTF 2019

Seramai 2,100 peserta menyertai acara The North Face - Malaysia Trail Festival di Taiping, Perak.

PELARI dari Denmark Kristian Joergensen merangkul gelaran juara bagi kategori Terbuka Lelaki 84 kilometer The North Face - Malaysia Mountain Trail Festival 2019 (TNF-MMTF 2019) yang berlangsung selama tiga hari di Taiping, Perak minggu lalu.

Edisi kedua TNF-MMTF ini menyaksikan seramai 2,100 pelari dari 35 negara bertanding dalam empat kategori (13KM, 25KM, 55KM dan 84KM) untuk menguji ketahanan fizikal pelari di laluan yang amat mencabar bertempat di Bukit Larut, Taping yang mempunyai pelbagai ketinggian iaitu 610 meter, 1,440 meter, 3,250 meter dan 5,290 meter mengikut acara yang ditetapkan.

Joergensen,35, yang mencatat masa 10:22:24s memberitahu dia berasa sangat gembira di atas kemenangan ini kerana ia merupakan siri kejohanan Asia Trail Master (ATM) dan ramai pelari yang hebat turut bersaing.

"Saya agak terkejut apabila saya menang. Saya tahu saya telah berlatih dengan gigih untuk memastikan badan cergas untuk perlumbaan.

"Laluannya sangat sukar, tetapi juga sangat istimewa dan indah kerana dapat mengharungi hutan dan rimba."

Joergensen menamatkan larian dengan catatan masa 10:22:24s.

Sementara itu, John Ellis, 41, dari Australia dinobatkan sebagai juara baharu bagi kategori lelaki kejohanan ATM selepas perlumbaan selama tahun.

"Saya sangat gembira dan juga agak penat. Ia satu musim perlumbaan yang panjang. Saya telah melakukan sebanyak 9 perlumbaan dan ianya satu persaingan yang sangat mencabar dan tiada ruang untuk berehat.

"Anda perlu berusaha gigih pada setiap perlumbaan hanya untuk mendapatkan mata," jelas Ellis.

Manakala kategori Wanita Terbuka TNF-MMTF (84km) dimenangi Veronika Vadovicova dari Slovakia.

Selepas kejayaan menganjurkan Malaysia Mountain Trail Festival yang pertama pada tahun 2018, larian denai bukanlah satu-satunya agenda di TNF-MMTF, sasaran utama adalah untuk mengumpulkan komuniti pelari denai dari seluruh dunia melalui larian, muzik dan makanan di lokasi rasmi, Spritzer EcoPark.

Penganjur TNF-MMTF dari MMTF Consultant Ewegene Tan memberitahu, pihaknya telah menerima penyertaan luar biasa pada aksi tahun ini.

"Kami berbangga dengan semua pelari yang telah berjaya sampai di Taiping dan juga menamatkan perlumbaan. Daripada 2,100 pelari, lebih daripada 1,800 adalah rakyat Malaysia.

"Ini membuktikan bahawa semakin ramai rakyat Malaysia yang menjalani gaya hidup aktif sambil melancong dalam negara untuk menikmati keindahan tanah air mereka," katanya dalam satu kenyataan.

TNF-MMTF dianjurkan oleh MMTF Consultant, Jabatan Perhutanan Negeri Perak, Spritzer, Yayasan Keamanan Global Perdana dan Larut Matang Hash House Harriers dan Harriets.

Dalam pada itu, Pengarah Penyelidikan & Pembangunan Spritzer Datuk Chuah Chaw Teo yang juga merupakan penaja lokasi perlumbaan dan penganjur bersama TNF-MMTF 2019, berkata pihaknya teruja terlibat dalam acara berprestij ini.

"Ini adalah aspirasi kami untuk memberi pengetahuan kepada orang ramai bahawa kami menjalankan Tanggungjawab Sosial Korporat kami dengan melindungi alam sekitar dan memastikan apa sahaja yang kami lakukan adalah untuk melindungi alam dan berharmoni dengan alam semula jadi.

"Ini adalah faktor utama bagi kami membuat pelaburan membina Spritzer Ecopark yang telah dibuka kepada orang ramai pada tahun 2015 agar alam semulajadi dan persekitarannya dapat dinikmati."

TNF-MMTF kali ini juga merupakan Perlumbaan Akhir Musim bagi siri Kejohanan Asia Trail Master 2019, yang menyaksikan juara ATM baharu juga dinobatkan di Taiping.

Sebagai rekod, kategori perlumbaan 25KM, 55KM dan 84KM telah diperakui oleh International Trail Running Association (ITRA) dan telah dimasukkan ke dalam senarai perlumbaan yang layak untuk perlumbaan ‘Ultra Trail du Mont Blanc’ (UTMB) yang terkenal di dunia.

The North Face, ATM, Taiping, Perak

Artikel Lain