BINTANG kelab Tottenham dan skuad kebangsaan England, Dele Alli dikecam bersikap rasis selepas membuat sindiran mengaitkan seorang lelaki Asia dengan koronavirus. Alli didakwa menghantar video yang keterlaluan itu kepada rakan-rakannya menerusi aplikasi media sosial, Snapchat. Klip video tersebut dikatakan dirakamkan di lounge Lapangan Terbang Heathrow di London, United Kingdom pada Khamis lalu, semasa pemain bola sepak itu mahu berlepas ke Dubai untuk bercuti bersama rakan-rakan sepasukannya. Pemain berusia 23 tahun itu bagaimanapun membuat permohonan maaf pada Sabtu malam, dan menegaskan bahawa beliau tiada niat untuk menyinggung perasaan mana-mana pihak. Menerusi video tersebut yang diperoleh Daily Star, Alli merakamkan dirinya sendiri memakai topeng muka dengan kapsyen: "Korona... apa, sila dengar dengan jelas." Alli merakamkan seorang lelaki kelihatan seperti orang Asia, dan mengaitkannya dengan koronavirus. Foto Daily Star Sunday Kedengaran aksen China oleh sekumpulan individu sebelum Alli mengalihkan rakaman ke arah seorang lelaki yang kelihatan seperti orang Asia. Alli yang tidak mengenali lelaki itu kemudian membuat rakaman secara dekat terhadap lelaki itu yang sedang menggunakan telefon bimbitnya. Lelaki berkenaan bagaimanapun tidak menyedari dirinya sedang dirakam oleh bintang Spurs itu. Rakaman tersebut kemudian menunjukkan botol pencuci tangan antiseptik. - Mirror