suria

Bekas rakan pasukan dedah masih kagumi Coutinho, kepulangan semula ke Anfield amat dialu-alukan

Coutinho kini dipinjamkan ke Bayern Munich.

KEPULANGAN semula pemain tengah Barcelona, Philippe Coutinho di Anfield amat dialu-alukan kerana dia masih lagi dikagumi bekas rakan pasukannya.

Itu pandangan kapten Liverpool, Jordan Henderson meskipun menyedari hakikat pemain kebangsaan Brazil itu sudah tidak lagi bersama pasukan tersebut.

Coutinho menyertai Barcelona dengan bidaan bernilai 142 juta pound sterling pada 2018 tetapi masih bergelut dengan prestasi tidak menentu di Camp Nou.

Dia dipinjamkan ke Bayern Munich pada musim panas dan Barcelona berharap kelab gergasi Jerman itu akan menawarkan kontrak tetap kepada pemain tersebut.

Namun Bayern tiada pelan ke arah itu menyebabkan status Coutinho masih menjadi teka-teki.

Susulan itu, Coutinho mula dikaitkan dengan perpindahan semula ke Anfield sejak akhir-akhir ini.

Malah khabar angin itu turut menggembirakan Henderson yang menyifatkan Coutinho sebagai pemain berbakat.

"Phil salah seorang kawan baik saya. Saya fikir dia pemain berbakat. Dia ada segalanya, disiplin dan dia amat menyukai bola sepak.

"Jadi sudah tentu bagi saya dia akan kembali. Tetapi ia tidak bergantung kepada saya. Adalah lebih baik bertanya sendiri kepada pengurus mengenainya," kata Henderson. - Mirror.co.uk

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan