suria

Carlo Ancelotti beri penjelasan situasi tegang ketika menentang Manchester United

Ancelotti (tiga dari kiri) berang dengan keputusan pengadil yang membatalkan jaringan Everton pada masa kecederaan. Foto REUTERS

JURULATIH Everton, Carlo Ancelotti menjelaskan terdapat salah faham sehingga dia dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan, Chris Kavanagh dalam perlawanan yang berlangsung di Goodison Park.

Perlawanan yang berkesudahan seri 1-1 itu dilihat memihak kepada Everton selepas Dominic Calvert-Lewin menjaringkan gol pada masa kecederaan di penghujung permainan.

Namun, sistem video bantuan pengadil (VAR) mendapati kedudukan Gylfi Sigurdsson berada dalam posisi ofsaid dan telah membatalkan gol tersebut.

Ancelotti yang berang dengan keputusan tersebut telah bersemuka dengan Kavanagh sejurus selepas wisel penamat ditiupkan dan dia dilayangkan kad merah.

"Saya hanya mahukan penjelasan mengapa gol tersebut dibatalkan?

"Berlaku sedikit salah faham menyebabkan saya dilayangkan kad merah. Bukannya saya tidak menghormati dia," ujar Ancelotti.

Kedudukan Gylfi Sigurdsson (paling kanan) yang dikatakan ofsaid menyebabkan gol jaringan Dominic Calvert-Lewin pada masa kecederaan dibatalkan.

Ancelotti juga mempertikaikan jaringan pada masa kecederaan yang dibatalkan oleh VAR.

"Ia satu keputusan yang sukar. Dari apa yang kami lihat, Gylfi (Sigurdsson) tidak mengganggu pandangan penjaga gol langsung.

"Kadangkala (VAR) buat keputusan yang betul dan kadangkala salah," tambah Ancelotti.

Ancelotti dilayangkan kad merah selepas tamat 90 minit permainan yang turut menyaksikan tujuh pemain lain dilayangkan kad kuning sepanjang perlawanan berlangsung.

Keputusan seri 1-1 menentang Manchester United meletakkan mereka di tangga ke-11 liga di belakang Arsenal. - Mirror

VAR, Ancelotti, Everton, Manchester United

Artikel Lain