BINTANG muda Chelsea, Reece James memberitahu dia mempunyai sehelai jersi yang ditandatangani oleh jurulatihnya, Frank Lampard yang digantung di bilik tidurnya. Pertahanan kanan skuad The Blues itu kerap diberi peluang untuk bermain di dalam saingan Liga Perdana Inggeris di bawah kendalian Lampard. Bermain di bawah kendalian idolanya diibaratkan seperti mimpi menjadi kenyataan apabila beberapa kali dia diturunkan sebagai kesebelasan utama. Bercerita kepada FourFourTwo, pemain berusia 20 tahun itu mengakui dia menerima jersi tersebut ketika lawatan skuad akademi ke bilik persalinan Chelsea. "Mereka berikan saya jersi berserta tandatangan di atasnya. Saya sempat bertemu Lampard, John Terry dan beberapa pemain lain. Reece James (kanan) memberi asakan kepada penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah. Foto: REUTERS "Jersi tersebut masih digantung di rumah keluarga saya dan nama Lampard ada di belakangnya," ujarnya. James gembira apabila dia diberi peluang untuk mewakili kelab kegemarannya selepas dipinjamkan ke Wigan pada musim lepas. Pertahanan skuad kebangsaan England Bawah-21 itu menjelaskan Lampard pernah cuba memberi tawaran kepadanya untuk menyertai Derby pada musim lepas namun dihalang oleh Wigan. "Saya sangat seronok apabila dia (Lampard) nampak kebolehan saya untuk bermain buat Chelsea. Pada awal musim juga Lampard telah memberitahu saya bahawa dia akan memberi saya peluang untuk bermain. Lampard lebih gemar menggunakan khidmat pemain-pemain muda pada musim ini, antaranya Reece James, Tammy Abraham dan Mason Mount. Foto: REUTERS "Beberapa bulan lepas saya mengalami kecederaan dan Lampard memberitahu saya untuk kembali pulih segera. "Saya rasa bersyukur dan berterima kasih kerana dapat bermain di bawahnya," tambahnya lagi. James setakat ini telah diturunkan dalam 25 perlawanan di bawah kendalian Lampard dan berharap dia dapat menjadi kesebelasan utama dalam pertemuan menentang Everton di Stamford Bridge pada hujung minggu ini. - Daily Mail