PERLAWANAN Liga Perdana Inggeris antara Manchester City menentang Arsenal pada awal pagi Khamis ditunda apabila langkah berjaga-jaga diambil berikutan penularan wabak Covid-19. Pemilik Olympiakos, Evangelos Marinakis yang disahkan positif Covid-19 telah bertemu dengan beberapa pemain Arsenal ketika saingan Piala Europa antara kelab itu dan Olympiakos di Stadium Emirates, London pada 27 Februari lalu. Arsenal dalam satu kenyataan memberitahu, mereka sedang mengenal pasti pemain-pemain yang bertemu dengan Marinakis selepas tamat perlawanan. "Pemain-pemain yang disyaki telah diarahkan untuk melakukan kuarantin sendiri di rumah selama 14 hari bagi mengelakkan mereka berhubung dengan orang lain. "Kesannya, pemain Arsenal tidak dibenarkan untuk turun berlatih sekali gus dilarang bermain dalam perlawanan menentang Manchester City," tulisnya. Pemilik Olympiakos, Evangelos Marinakis (dua dari kiri) berjalan mengelilingi sambil mengucapkan terima kasih kepada penyokong yang hadir. Foto: AFP Tambah kenyataan itu, kelab Arsenal memahami kekecewaan para penyokong terutama mereka yang sudah membeli tiket perjalanan ke Manchester. "Tiket perlawanan masih lagi boleh digunakan bagi perlawanan yang bakal diberitahu tarikh baharu kelak. "Kami mewakili staf dan pemain Arsenal juga berharap Marinakis dapat segera pulih," ujar Arsenal melalui kenyataan tersebut. Penularan wabak Covid-19 telah memberi ancaman kepada dunia bola sepak di England dengan beberapa langkah keselamatan telah diambil oleh Persatuan Bolasepak England (FA). Sebagai contoh, saingan Liga Juara-Juara Eropah antara Chelsea dan Bayern Munich akan dilangsungkan di stadium tertutup termasuk perlawanan di saingan Piala Europa yang melibatkan Wolverhampton, Manchester United dan Rangers. Sementara itu, Liverpool yang bakal menerima kunjungan Atletico Madrid di Anfield pada pagi Khamis dijadualkan akan berjalan seperti biasa tanpa sebarang perubahan. - The Guardian