TOTTENHAM Hotspur gagal layak ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah selepas mempamerkan aksi kurang bermaya ketika tewas secara agregat 4-0 kepada RB Leipzig. Penyokong Tottenham Hotspur yang jelas kecewa dengan keputusan tersebut mendesak supaya Jose Mourinho dipecat berikutan kekalahan, awal pagi Rabu. Ketiadaan pemain utama Spurs yang menghadapi kecederaan seperti Harry Kane, Son Heung-Min dan Steven Bergwijn nyata memberi impak kepada pasukan. Selepas kekalahan tersebut, penyokong melepaskan kemarahan mereka di media sosial dengan mendesak Mourinho dipecat. "Sangat mengecewakan melihat pasukan kita tewas pada kedua-dua perlawanan," ujar seorang pengguna Twitter. "Saya tidak akan tonton lagi perlawanan Spurs sehingga Mourinho dipecat," tulis netizen lain. "Mourinho perlu tinggalkan kelab ini pada hujung musim," tambah penyokong lain. Sabitzer menjadi wira RB Leipzig selepas menjaringkan dua gol ketika menentang Tottenham Hotspur dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah. Foto: AFP Perlawanan yang berlangsung di Red Bull Arena Leipzig menyaksikan Tottenham tewas 3-0 setelah dibolosi dua gol awal. Kedua-dua gol tersebut dijaringkan oleh Marcel Sabitzer, masing-masing pada minit ke-10 dan minit ke-21. Pemain gantian, Emil Forsberg melengkapkan kemenangan RB Leipzig apabila menjaringkan gol pada minit ke-87. Kekalahan itu bermakna Spurs hanya mempunyai satu pertandingan sahaja yang tinggal iaitu Liga Perdana Inggeris. Mereka kini berada di kedudukan kelapan liga dengan kutipan 41 mata. - Express.co.uk