suria

Nafuzi arah pemain hantar video latihan menerusi WhatsApp, “Cuti dua minggu bukan bulan madu”

Pemain-pemain Terengganu disediakan dengan jadual latihan persendirian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini. Foto: Bernama

KETUA jurulatih Terengganu FC (TFC) Nafuzi Zain mengingatkan anak buahnya bahawa cuti dua minggu susulan Perintah Kawalan Pergerakan, bukan masa untuk mereka ‘bulan madu’.

Sebaliknya,dia meminta agar pemain dapat memanfaat sepenuhnya masa yang ada, dengan menjalani latihan kecergasan untuk memastikan mereka kekal cergas, sekiranya Liga Malaysia (Liga M) yang dihentikan seketika mulai 18 Mac lalu, disambung semula dalam masa terdekat.

Nafuzi dan barisan pegawai kecergasan telah meyediakan jadual serta modul latihan yang perlu diikuti pemain sepanjang tempoh ‘bertenang’ itu, yang dilakukan di rumah masing-masing.

"Sebagai jurulatih saya tidak boleh mengambil ringan dan membiarkan dua minggu berlalu begitu sahaja tanpa sebarang latihan, dan panduan untuk pemain.

"Walaupun para pemain terpaksa melakukan latihan secara bersendirian, ia diharap dapat membantu mengekalkan kecergasan, serta menjadikan mereka lebih berdisplin walaupun tanpa pemerhatian," katanya ketika dihubungi Bernama.

Nafuzi berkata, untuk memastikan tiada pemain 'curi tulang', mereka diarahkan menghantar video latihan menerusi aplikasi WhatsApp, bagi membolehkan barisan kejurulatihan dan kecergasan membuat penilaian sebelum mengubahsuai latihan sekiranya perlu.

"Selain latihan pemain juga dinasihatkan supaya menjaga kesihatan dan  pemakanan dengan betul dan berdisiplin," katanya.

Artikel Lain