MARCO Verratti mendedahkan bahawa rakan sepasukannya lebih mengejar kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah berbanding duit. Sehingga kini, Paris Saint-Germain telah membelanjakan ratusan juta sejak pengambil alihan pengurusan daripada warga Qatar pada 2011. Dana yang besar telah berjaya menarik minat beberapa pemain bintang seperti Neymar dan Kylian Mbappe selain menjuarai enam kejuaraan liga dalam tempoh tujuh tahun. Namun, Verratti menafikan dakwaan bahawa mereka hanya bermain untuk PSG disebabkan gaji yang tinggi. "Sehingga kini, ada sahaja pemain bola sepak yang memberitahu saya 'come on, beritahu presiden, saya ingin bermain di PSG'. "PSG merupakan antara tujuh atau lapan kelab terbaik di dunia. Itu antara sebab mengapa pemain bola sepak ingin beraksi buat kelab ini. "Ada yang kata kami bermain untuk duit, kalau begitu lebih baik kami bermain di China sahaja. "Apabila seseorang pemain itu memilih PSG, dia turut bersetuju dengan perancangan kelab untuk memenangi Liga Juara-Juara Eropah. Di sini, kemenangan tersebut memberi makna lebih daripada lima kali berbanding kelab lain," ujar pemain antarabangsa Itali itu. Pada Mac lalu, PSG berjaya melepasi saingan pusingan 16 apabila bangkit daripada ketinggalan kepada Borussia Dortmund beberapa hari sebelum saingan bola sepak ditunda berikutan wabak Covid-19. - Goal.com