ATLET dan pegawai yang terlibat dengan Kem Latihan Berpusat Program 'Road To Tokyo' (RTT) bermula 1 Jun hingga 30 Jun akan menjalani tiga proses saringan Covid-19. Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata semua atlet dan pegawai berkenaan akan menjalani ujian ‘swab’ pertama pada hari pertama pendaftaran di pusat latihan masing-masing. "Mereka akan menjalani kuarantin kendiri di bilik asrama dari hari pertama sehingga keputusan ujian diperolehi pada hari kedua atau ketiga selepas ujian. "Manakala ujian swab kedua adalah pada hari kelima (prasimptom) dan ujian swab ketiga pada hari ke-13 (tiada simptom). Ujian itu akan diselaraskan oleh Institut Sukan Negara (ISN)," katanya dalam kenyataan. Jumlah atlet yang telah melaporkan diri di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara termasuk pemain, jurulatih dan pegawai sokongan hari ini berjumlah 38 orang, manakala di Pusat Latihan Perahu Layar di Langkawi, Kedah pula adalah seramai 24 orang. Bagaimanapun pendaftaran bagi kem berpusat di Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil, akan diadakan pada 8 Jun ini bagi memberikan ruang dan masa tambahan untuk proses sanitasi dan persiapan asrama di Casa 1, Majlis Sukan Negara (MSN). Reezal Merican berkata tujuan beliau melakukan lawatan kerja ke ABM hari ini adalah untuk melihat dan memantau perjalanan perdaftaran dan proses kemasukan pegawai, atlet dan jurulatih ke lokasi latihan berpusat itu. "Semua proses pendaftaran berjalan dengan lancar tanpa sebarang kesulitan. Aspek keselamatan dan kesihatan atlet dan semua yang terlibat dalam kem latihan berpusat itu serta pematuhan rapi garis panduan prosedur operasi standard (SOP) pusat kuarantin telah memberi keyakinan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) ketika kelulusan untuk kelonggaran khas diberikan oleh pihak kerajaan," katanya. - Bernama Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!