suria

Grand Prix F1 Singapura dibatalkan

Perlumbaan F1 Singapura September ini dibatalkan berikutan penularan Covid-19.

PERLUMBAAN Grand Prix (GP) Formula Satu (F1) 2020 Singapura yang dijadualkan pada 20 September ini, dibatalkan susulan penularan wabak Covid-19.

GP Singapura dalam laman web hari ini mengatakan pembatalan perlumbaan malam itu berikutan sekatan berterusan terhadap aktiviti pembinaan dan perniagaan disebabkan pandemik Covid-19.

Menurut penganjur, susulan sekatan berkenaan, kerja pembinaan litar perlumbaan dalam bandar yang biasanya bermula pada bulan Mei, tidak dapat dilaksanakan tepat pada waktu untuk perlumbaan yang dijadualkan pada bulan September ini.

"Beberapa bulan lepas adalah sangat mencabar untuk semua bidang, dan sekarang kami telah membuat keputusan sukar, yang diterima oleh Formula 1 dan pihak berkepentingan, ” kata Timbalan Pengerusi GP Singapura Colin Syn.

Syn berkata kesihatan serta keselamatan kontraktor dan pekerja, penonton, kru F1, petugas dan marshall menjadi keutamaan pihaknya buat masa ini.

GP Singapura akan menawarkan pilihan untuk mengembalikan wang dalam tempoh 30 hari bekerja, atau boleh digunakan untuk perlumbaan tahun hadapan.

Pemegang tiket boleh menghubungi penganjur untuk langkah seterusnya manakala mereka yang membeli tiket menerusi penjual tiket yang sah SGP, boleh menghubungi pihak berkenaan untuk bayaran balik. - Bernama

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

GP Singapura, F1, Batal, 2020

Artikel Lain