suria

Penyerang JDT Syafiq Ahmad cedera akibat kemalangan, bayi usia 22 hari maut

Kemalangan turut mengorbankan bayi lelakinya berusia 22 hari.

MALANG menimpa penyerang muda Johor Darul Ta'zim (JDT), Muhammad Syafiq Ahmad apabila dia terlibat dalam satu kemalangan pada awal pagi Ahad.

Lebih pilu, kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Sungai Bakap itu turut mengorbankan bayi lelakinya berusia 22 hari selain wanita warga tempatan Zainab Wahab, 45, dan warga Indonesia Titik Sukamti, 30-an.

Dalam kejadian itu, Muhammad Syafiq cedera ringan selepas kenderaan jenis Toyota Vellfire berwarna hitam dipercayai dipandunya terlibat dalam kemalangan tersebut.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, seorang lagi anak perempuannya, Aaira Nur Saffiyya, 2, cedera ringan namun isteri beliau, Nur Amalina Nur Ain, 25, dilaporkan cedera parah.

Pegawai Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Abd Syukur @ Mohd Ilhami Musa berkata, bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 5.36 pagi dan tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian.

Penyerang JDT, Muhammad Syafiq Ahmad.

Menurutnya, terdapat enam mangsa iaitu tiga dalam keadaan selamat manakala tiga lagi tersepit di dalam kenderaan itu.

"Ketika tiba di lokasi, kita mendapati sebuah kereta pelbagai guna jenis Toyota Vellfire berwarna hitam remuk teruk dipercayai terbabas sendiri lalu melanggar pembahagi jalan.

"Pasukan bomba yang lengkap berpakaian perlindungan peribadi (PPE) telah mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas. Mangsa yang tersepit berjaya dibawa keluar pada jam 6.10 pagi," katanya ketika dihubungi tadi.

Beliau berkata, tiga mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian.

"Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

"Operasi melibatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Bakap. Ia tamat kira-kira jam 6.12 pagi," katanya. - Sinar Harian.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain